HomeBuletinProgram empowerNCER fokus kepada sokongan emosi, cakna isu kesihatan mental peserta

Program empowerNCER fokus kepada sokongan emosi, cakna isu kesihatan mental peserta

PULAU PINANG – Peningkatan kes gangguan psikologi seperti penderaan domestik serta kecelaruan mental ketika wabak Covid-19 menular amat membimbangkan berdasarkan perkembangan semasa.

Banyak pihak juga berpandangan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menyumbang kepada peningkatan kes kesihatan mental.

Bagi memastikan para peserta program empowerNCER Akademik Pulau Pinang dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada aktiviti pembelajaran, penganjur program turut menyediakan aktiviti khusus kepada sokongan emosi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan empowerNCER, program ini bertujuan memberikan ruang kepada para peserta untuk berkongsi apa juga masalah khususnya yang melibatkan aspek psikologikal seperti emosi, pemikiran dan tingkah laku yang berisiko mengganggu fokus mereka terhadap pembelajaran.

Program ini juga bertujuan untuk membimbing para peserta mengenali minat dan potensi mereka serta hala tuju kerjaya melalui maklumat yang disampaikan sepanjang program berkenaan.

“Peserta program dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil bagi memudahkan proses bimbingan yang telah dijalankan.

“Terdapat 18 kumpulan peserta di daerah Seberang Perai Utara (SPU) manakala 17 kumpulan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dengan jumlah peserta dalam setiap kumpulan antara 8 orang hingga 12 orang.

“Program ini diketuai oleh seorang kaunselor pelatih yang merupakan pelajar program Sarjana Kaunseling di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM),” menurut kenyataan tersebut.

Pendekatan yang digunakan pula berbentuk interaksi secara dua hala menggunakan platform atas talian sahaja kerana kekangan pandemik Covid-19.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Jelas kenyataan itu lagi, kaunselor pelatih telah membentuk kumpulan interaksi melalui aplikasi WhatsApp untuk sentiasa berhubung dengan peserta dan mengemaskini jadual sesi bimbingan yang akan dijalankan.

“Aktiviti yang dikendalikan oleh kaunselor pelatih ini berbentuk bimbingan dan kaunseling kelompok, bergantung kepada isu yang diketengahkan oleh para peserta dalam kumpulan.

“Kaunselor pelatih telah didedahkan dengan modul spesifik yang menjadi panduan kepada mereka sepanjang melaksanakan program ini dan setiap sesi bimbingan yang dijalankan mengambil masa sekitar 60 ke 90 minit.

“Melalui kepakaran yang dimiliki oleh kaunselor pelatih ini, para peserta mempunyai ruang untuk berkongsi apa juga isu psikologikal dihadapi dalam persekitaran hidup mereka yang menyebabkan gangguan terhadap pembelajaran,” ujarnya.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Sepanjang program ini berlangsung, pelbagai isu dan masalah yang dikongsikan oleh para peserta seperti isu berkaitan pembelajaran, hala tuju kerjaya, keluarga, rakan serta peribadi yang memberi kesan kepada tumpuan terhadap pembelajaran bersama coaches kumpulan mereka.

Menurut kenyataan itu lagi, dengan adanya program sokongan emosi ini, para peserta dilihat selesa berinteraksi dan meluahkan isu kerana mereka jelas dengan etika kerahsiaan yang diamalkan oleh kaunselor pelatih.

Etika kerahsiaan ini merupakan antara tunjang utama kepada program ini kerana matlamatnya adalah untuk membantu apa juga isu psikologikal yang dihadapi oleh para peserta serta tidak menjejaskan fokus mereka terhadap pembelajaran.

Sementara itu, kaunselor pelatih, Amir Zakuan berkata, para peserta selesa untuk berinteraksi sesama ahli kumpulan dan kaunselor pelatih kerana aktiviti yang disusun adalah secara berperingkat iaitu bermula dengan aktiviti berbentuk membina hubungan atau rapport sehingga kepada perkongsian isu dan intervensi bersesuaian.

“Justeru itu, para peserta merasa yakin dan selesa untuk berkongsi kerana telah dimaklumkan tentang matlamat utama program serta etika kerahsiaan tersebut.

Gambar hiasan daripada Pexels.

“Pada masa sama, konsep ‘peers to peers’ yang diterapkan berjaya mendekatkan lagi jarak antara peserta dengan kaunselor pelatih kerana laras bahasa yang hampir sama serta keupayaan memahami isu dalam konteks kehidupan remaja seperti para peserta ini,” kongsi Amir.

Manakala bagi seorang lagi kaunselor pelatih iaitu Lia Nazira, para peserta yang berada dalam kumpulannya sangat gembira dengan interaksi, luahan dan perkongsian yang dibuat kerana mereka memiliki ruang khusus untuk berbincang masalah dihadapi serta dibimbing untuk mendapatkan pelan tindakan terhadap isu tersebut.

“Mereka tidak merasa kekok untuk berkongsi kerana turut mendapat sokongan yang baik daripada rakan-rakan sekumpulan. Ini membantu mereka menangani masalah psikologikal dihadapi dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan aktiviti pembelajaran dalam program empowerNCER Akademik Pulau Pinang ini.

“Pada masa sama, para peserta juga dapat meneroka potensi dan minat kerjaya yang ada dalam diri mereka seterusnya dibimbing untuk membuat perancangan hala tuju kerjaya khususnya selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” jelasnya.

Program empowerNCER Akademik merupakan inisiatif pembangunan modal insan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan USM telah diberi mandat menjadi pelaksana Program empowerNCER Akademik ini melibatkan 1,000 pelajar Tingkatan 5 di Pulau Pinang.