IMG-20220805-WA0007
IMG-20220805-WA0007

Program Misi Al-Jazari : Eksplorasi KBAT Sains sasar 100 penyertaan sekolah peringkat kebangsaan

Norliza Wasilan
04 Aug 2022 04:46pm
A
A
A

BANTING - Program Misi Al-Jazari : Eksplorasi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Sains anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kelambu dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Kuala Langat, Selangor, yang akan diadakan pada 15 hingga 28 Ogos ini secara dalam talian menyasarkan penyertaan 100 buah sekolah seluruh negara.

Penganjuran julung kali di peringkat kebangsaan ini adalah kesimbungan daripada kejayaan program sama yang dilakukan oleh sekolah berkenaan pada peringkat negeri, tahun lalu.

Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaana (SK) Sungai Kelambu, Rosmawati Sidek berkata, pihaknya positif dapat mencapai sasaran berkenaan berdasarkan maklum balas diterima setakat ini.

“Pihak sekolah selaku penganjur giat menjalankan hebahan untuk menarik lebih banyak penyertaan menggunakan pelbagai plaform termasuk menerusi media sosial.

“Kami berbesar hati apabila diberi kepercayaan menganjurkan pertandingan ini bagi memupuk minat murid dalam mata pelajaran sains, terutamanya bidang penjelajahan sains angkasa, sains hayat dan sains bahan, sekaligus memupuk masyarakat yang saintifik,” ujarnya.

Program Misi Al-Jazari : Eksplorasi KBAT Sains - SK Sungai Kelambu ini merupakan salah satu aktiviti kokurikulum akademik yang melibatkan penyertaan murid sekolah rendah dalam bidang sains angkasa, sains hayat dan sains bahan.

Ia dirancang sebagai salah satu usaha pemerkasaan elemen KBAT, sekali gus menggalakkan murid menerokai bidang berkenaan secara lebih kreatif.

Mengulas lanjut, Rosmawati berkata, terdapat tiga kategori yang boleh disertai murid melalui program tersebut iaitu pertandingan membina model simulasi angkasa bertemakan sains angkasa; drama pendek bertemakan alam sekitar; dan 3R (reduce, reuse dan recycle) bertemakan pertanian.

Ujarnya lagi, tawaran hadiah menarik menanti pemenang yang mengambil bahagian sebagai usaha untuk menggalakkan mereka melahirkan idea di luar kotak.

“Kami menyediakan hadiah untuk lima pemenang dan ia berbeza mengikut kategori yang mereka sertai.

“Bagi kategori sains angkasa dan pertanian, program ini menawarkan hadiah wang tunai RM100 beserta sijil (johan): RM80 beserta sijil (naib johan); RM60 beserta sijil (ketiga); RM40 beserta sijil (keempat); dan RM30 beserta sijil (kelima).

“Manakala bagi kategori alam sekitar pula johan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM200 beserta sijil; RM150 beserta sijil (naib johan); RM100 beserta sijil (ketiga); RM80 beserta sijil (keempat); dan RM70 beserta sijil (kelima).

"Selain itu, jalinan bersama rakan strategik seperti Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Jabatan Pertanian Selangor, dan Perpustakaan Negara banyak membantu dalam perkongsian ilmiah,” katanya.

Bagi mereka yang berminat boleh layari https://forms.gle/6fNKs2Tqjv3kL5nu6 dan tarikh tutup penyertaan ialah 8 Ogos ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok