Program PerkasaKU mulai 1 September bagi rapatkan jurang pembelajaran - KPM
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini telah melancarkan Program Pemerkasaan Pelaksanaan Kurikulum (PerkasaKU) bagi merapatkan jurang pembelajaran yang berlaku berikutan pandemik Covid-19.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid berkata, PerkasaKU memberi fokus menyeluruh dalam usaha KPM memulihkan tahap penguasaan murid terhadap pembelajaran, pada ketika Covid-19 menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka terpaksa ditangguhkan dan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan pembelajaran.
Katanya, terdapat empat perkara utama yang perlu diberi fokus oleh semua guru dalam program berkenaan untuk dilaksanakan iaitu Strategi Pengukuhan dan Pengayaan yang bertujuan untuk merapatkan jurang pembelajaran yang timbul akibat pelbagai kekangan semasa melaksanakan PdPR.
“Kedua, Program Pemugaran Literasi dan Numerasi yang merupakan strategi bagi membantu murid, guru dan ibu bapa atau penjaga untuk mengukuhkan kemahiran literasi dan numerasi sesuai dengan tahap keupayaan murid yang khususnya kepada murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) yang belum menguasai tahap minimum 3M (membaca, menulis dan mengira) semasa PdPR.
“Ketiga ialah memastikan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang merupakan proses berterusan dan komponen penting bagi mendapatkan maklumat untuk mengenal pasti dan merekod perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) atau PdPR tidak diabaikan,” katanya ketika berucap melancarkan PerkasaKU, baru-baru ini.
Beliau berkata, untuk itu, pemerkasaan PBD dilaksanakan dan diteruskan bagi memastikan tahap keupayaan dan penguasaan pembelajaran murid sentiasa ditaksir, direkod dan dipantau walaupun dalam tempoh PdPR.
Nor Zamani menjelaskan, perkara keempat adalah satu sistem penyimpanan bahan pengajaran dan pembelajaran bagi mengurus, menyimpan dan menyediakan akses kepada bahan dalam bentuk digital telah disediakan.
Menurutnya, guru-guru, ibu bapa dan murid boleh mengakses bahan tersebut pada bila-bila masa dan di mana sahaja selain bahan itu seharusnya dapat dimanfaatkan seoptimum mungkin oleh semua pihak bagi memberi impak positif terhadap pendidikan setiap murid.
Nor Zamani berkata, KPM sentiasa mengambil berat dan fokus terhadap pembelajaran murid yang mungkin terjejas akibat penutupan sekolah dalam tempoh yang agak lama bagi membendung penularan pandemik Covid-19, dan daripada analisis yang diperoleh, dapatan menunjukkan berlaku isu seperti ‘learning loss’ dan ‘learning gap’ dalam kalangan murid.
“Malah, daripada analisis dan tinjauan yang dibuat, KPM mengenal pasti bahawa kekurangan masa pembelajaran bersemuka bersama-sama guru menyebabkan penguasaan pembelajaran sebagai contoh, kemahiran literasi dan numerasi dalam kalangan murid Tahap 1 terkesan dan perlu ditangani dengan sistematik,” katanya.
PerkasaKU akan dilaksanakan mulai 1 September ini hingga 28 Februari 2022 yang meliputi murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5.
Program itu secara keseluruhannya juga akan melibatkan PBD secara berterusan sepanjang proses PdPR atau PdP yang berlaku di samping Ujian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) juga akan dilaksanakan pada September hingga November 2021.
KPM turut menyarankan agar pertambahan masa perlu dilaksanakan dalam bentuk jadual waktu yang dipanjangkan atau penyelarasan semula takwim persekolahan bagi memberi peluang kepada murid untuk memperoleh kandungan asas yang diperlukan dalam pembelajaran mereka.
Ia juga merangkumi kaedah ‘bridging’ iaitu pengayaan dan pengukuhan yang akan dilanjutkan hingga Februari 2022.
KPM menyarankan agar semua guru memahami sepenuhnya program PerkasaKU yang dirangka dan dibangunkan sebagai pemangkin dalam meningkatkan pendidikan berkualiti bagi setiap murid.
KPM akan melaksanakan penataran untuk menjelas dan membimbing guru bagi memastikan empat fokus utama dapat dilaksanakan secara berkesan. - BERNAMA