Pasukan 'Steel Steady' terima geran RM15,000 Akademi Rakan Muda
Pasukan 'Steel Steady' terima geran RM15,000 Akademi Rakan Muda

Projek komuniti ‘Steel Steady’ terima geran RM15,000 Akademi Rakan Muda

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
21 Oct 2025 12:30pm

Inisiatif komuniti yang digerakkan oleh pasukan Teknologi Kimpalan Kolej Vokasional (KV) Keningau terus mencuri perhatian apabila projek mereka yang dinamakan ‘Steel Steady’ terpilih sebagai salah satu daripada 10 penerima geran Akademi Rakan Muda bernilai RM15,000.

Sebagai sebahagian daripada penerima geran, pasukan ini turut menyertai bengkel bimbingan bersiri yang berlangsung secara bersemuka pada hujung Julai di Negeri Sembilan dan awal Ogos 2025 di Selangor.

Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang meluahkan rasa bangga terhadap usaha pasukan berkenaan yang bukan sahaja mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang dipelajari, malah berperanan mendidik serta menggalakkan penglibatan aktif belia dalam kerja sukarelawan.

“Inisiatif seperti ini membuktikan bahawa pendidikan vokasional bukan sekadar membina kemahiran teknikal, tetapi turut membangunkan modal insan yang berjiwa sukarelawan dan berpegang pada nilai-nilai murni,” katanya.

Pasukan ‘Steel Steady’ diketuai oleh guru kimpalan yang juga ketua pasukan, Firdaus Sariman dan empat lagi pelajar Diploma Teknologi Kimpalan iaitu Nur Alia Ayuni Muhamad Husrin, Andrew Mark Dalubatan, Dylan Ivander Lucas serta Gareth Randall Gisil

Bagi memastikan latihan dijalankan secara berkesan, pasukan ini turut membangunkan modul khas bengkel asas kimpalan untuk golongan bukan vokasional.

Melalui geran yang diterima, ‘Steel Steady’ akan melaksanakan sesi latihan dan pendedahan kepada belia berusia antara 15 hingga 20 tahun di sekitar Keningau, sebelum memulakan projek pembaikan pertama di sekolah rendah daerah berkenaan.

Menariknya, projek komuniti berkenaan memberi tumpuan kepada pembaikan dan pemulihan bangunan awam seperti sekolah serta rumah ibadah.

Artikel Berkaitan:

Ia memberi keutamaan kepada struktur yang diperbuat daripada besi seperti pemegang tangga, kisi-kisi parit, jeriji pintu dan tingkap.

Dalam masa sama, ia turut menjadi platform latihan dan pemberdayaan belia dengan membuka peluang kepada sukarelawan muda untuk mempelajari teknik asas kimpalan di bawah bimbingan pelajar vokasional berkemahiran.

Projek ‘Steel Steady’ jelas menjadi bukti bahawa ilmu vokasional mampu membawa impak besar kepada masyarakat, apabila kemahiran yang dimiliki diterjemahkan dalam bentuk tindakan, tanggungjawab dan khidmat bakti untuk komuniti setempat.

Sebagai pengetahuan, program ini dianjurkan oleh Impact Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Majlis penutup bengkel tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menyempurnakan sesi pada malam terakhir melalui sebuah majlis khas.

Ringkasan AI

  • Inisiatif komuniti oleh pasukan KV Keningau, 'Steel Steady', terpilih sebagai penerima geran Akademi Rakan Muda RM15,000
  • Pasukan ini menyertai bengkel bimbingan di Negeri Sembilan dan Selangor
  • Projek ini bertujuan melatih dan mendedahkan belia pada kimpalan, dengan memberi tumpuan pada pembaikan bangunan awam
  • Pasukan diketuai oleh guru kimpalan Firdaus Sariman dan terdiri daripada empat pelajar Diploma Teknologi Kimpalan
  • Projek ini dianjurkan oleh Impact Malaysia bersama Kementerian Belia dan Sukan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp