de496d685707028dec4bb581005b9eb161891a05f0899 (1)
de496d685707028dec4bb581005b9eb161891a05f0899 (1)

Pulau Pinang beri insentif, biasiswa sukan kepada atlet negeri

webadmin
10 Nov 2021 11:04am
A
A
A

GEORGE TOWN - Pulau Pinang komited dalam memastikan kebajikan atlet negeri itu termasuk daripada golongan pelajar terus terbela, dengan menyediakan bantuan insentif pendidikan secara sekali beri dan biasiswa sukan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) berjumlah RM101,450 di bawah program Penang Athlete Career & Education (PACE).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata seramai 25 atlet negeri itu menerima Insentif Galakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dua atlet bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan peruntukan sebanyak RM9,550, manakala 20 atlet lagi menerima bantuan Insentif Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) secara sekali beri atau one-off berjumlah RM17,100.

BACA JUGA: 17 tip wajib tahu jika anda hendak mula bermain catur

BACA JUGA: Pengacaraan sudah sebati dalam diri, Cikgu Ahmad Baqi asah bakat sejak di IPG

"Selain itu, 15 orang menerima bantuan biasiswa sukan dengan peruntukan sebanyak RM74,800 sepanjang tempoh pengajian mereka di IPT.

"Kerajaan negeri berharap melalui pelbagai bentuk bantuan dan insentif di bawah program PACE ini, para atlet negeri dapat memberikan prestasi yang terbaik serta menjadi pemangkin semangat dan merangsang kejayaan mereka pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Insentif Pendidikan dan Biasiswa Sukan MSNPP di sini, hari ini yang turut dihadiri Exco Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee.

IKUti GPSBestari di twitter dan instagram

Dalam pada itu, Chow turut mengumumkan sumbangan kewangan berjumlah RM730,000 daripada 11 agensi korporat bagi menyokong pelaksanaan program PACE, termasuk syarikat Hotayi Electronic (M) Sdn Bhd, Syarikat Hunza Properties Bhd dan Syarikat UWC Bhd.

Sementara itu, Soon berkata pandemik COVID-19 telah memberi kesan besar kepada masyarakat, termasuk golongan pelajar yang perlu menyesuaikan diri kepada norma baharu seperti kaedah pembelajaran, dengan penggunaan teknologi menjadi satu keperluan penting.

"Dengan adanya bantuan serta insentif galakan ini, saya berharap bukan sahaja dapat membantu mereka menanggung kos pendidikan, malah menyemarakkan semangat untuk terus aktif serta cemerlang dalam bidang sukan dan pendidikan," katanya.

- BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok