No Image Caption

'Rel' harapan baharu anak muda Pahang: Akademi Rel Pahang perkasa TVET demi kerjaya masa depan

05 Dec 2025 02:30pm

Di sebalik pesatnya pembangunan negeri Pahang, satu usaha senyap tetapi signifikan sedang digerakkan melahirkan tenaga mahir tempatan yang bersedia menyambut ribuan peluang pekerjaan baharu, khususnya menjelang operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada 2027.

Bagi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, masa depan anak muda negeri ini perlu dibina melalui kemahiran yang relevan.

Justeru, penubuhan Akademi Rel Pahang bukan sekadar projek pendidikan tetapi platform mengubah persepsi dan nasib anak tempatan.

"ECRL memerlukan ribuan tenaga kerja apabila siap nanti, jadi kita tubuhkan Akademi Rel Pahang. Usaha ke arah itu sudah lama dibuat melalui Pahang Skills Development Center dan Kolej Yayasan Pahang," katanya ketika menjawab soalan tambahan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri optimis hasil inisiatif ini akan dapat dilihat tidak lama lagi, terutama apabila pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mula mengisi jawatan teknikal, penyelenggaraan dan operasi rel dalam projek mega tersebut.

No Image Caption

Namun lebih penting, kata beliau, adalah usaha mengubah minda lepasan Sijil Pelajar Malaysia (SPM) yang masih menganggap TVET sebagai 'pilihan kedua'. 

"Saya lihat individu yang ada kemahiran boleh mendapat gaji sehingga RM15,000. Peluang sangat besar, cuma kita perlu ubah cara fikir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Di samping membuka peluang pekerjaan, inisiatif TVET seperti Akademi Rel Pahang turut memberi sinar masa depan kepada anak muda luar bandar yang mungkin tidak memilih laluan akademik tradisional.

Usaha kerajaan negeri ini menandakan satu langkah besar iaitu membina generasi muda yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, tetapi mampu menjadi tunjang pembangunan Pahang dalam era industri moden.

Ringkasan AI

  • Pahang menggerakkan usaha membangunkan tenaga mahir tempatan menjangka peluang pekerjaan dari ECRL pada 2027
  • Akademi Rel Pahang ditubuhkan sebagai platform pendidikan dan transformasi persepsi anak tempatan
  • Kerajaan negeri optimis pelajar TVET akan mengisi jawatan teknikal ECRL, mengubah pandangan TVET sebagai pilihan kedua
  • Kemahiran tertentu boleh membawa gaji sehingga RM15,000, menekankan pentingnya perspektif baru terhadap TVET
  • Inisiatif ini bertujuan memberi peluang kepada anak muda luar bandar, merubah nasib generasi muda dan pembangunan Pahang
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp