Mohd Fared (dua dari kiri) pada Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan SDEA, SMRA dan SMA bagi tahun 2024 pada Khamis.
Mohd Fared (dua dari kiri) pada Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan SDEA, SMRA dan SMA bagi tahun 2024 pada Khamis.

Sekolah agama Johor tamat jam 6 petang sepanjang Ramadan

NOR AZURA MD AMINNOR AZURA MD AMIN
27 Feb 2025 01:46pm

Waktu persekolahan bagi sekolah agama di Johor akan ditamatkan lebih awal pada jam 6 petang sepanjang bulan Ramadan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, langkah berkenaan bertujuan memastikan murid dapat menunaikan ibadat pada bulan Ramadan dengan selesa.

"Secara umum, sesi persekolahan petang bagi sekolah agama di negeri ini akan tamat lebih awal, sekitar jam 6 petang berbanding hari biasa pada jam 6.30 petang.

"Langkah ini diambil sebagai usaha memastikan kebajikan murid dan guru terjaga selain memberi mereka masa mencukupi untuk menunaikan solat Maghrib dan menjalankan ibadah lain seperti solat tarawih," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Darjah Enam Agama (SDEA), Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) dan Sijil Menengah Agama (SMA) bagi tahun 2024 di Sekolah Agama Bandar Putra Kulai pada Khamis.

Menurut Mohd Fared, keputusan peperiksaan SDEA, SMRA, dan Sijil SMA pada tahun lalu menunjukkan peningkatan prestasi sekali gus mencerminkan usaha berterusan dalam memperkasakan pendidikan agama di negeri ini.

Daerah Pontian muncul sebagai daerah terbaik dengan GPS 2.21 manakala Sekolah Agama Bandar Putra, Kulai diiktiraf sebagai sekolah terbaik dengan pencapaian GPS 2.14.

Selain itu, Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor diumumkan sebagai sekolah terbaik dengan GPS 1.49.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp