sesi sekolah2
sesi sekolah2

Sekolah secara bersemuka tetap dibuka 21 Mac ini

Nor Azma  Muhamat Laila
05 Mar 2022 03:01pm
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sesi persekolahan Penggal 1, Kalendar Akademik Sesi 2022/2023 bagi semua sekolah di seluruh negara akan tetap dibuka bermula 21 Mac ini.

Bagaimanapun, masih ada pelajar yang perlu hadir secara penggiliran dan mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, bagi sekolah rendah yang mempunyai murid melebihi 600 orang, hanya murid Tahun Tiga hingga Tahun Lima saja perlu hadir ke sekolah secara penggiliran.

Katanya, bagi murid berkeperluan khas (MBK), Tahun Satu, Dua dan Enam serta penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

"Ketetapan ini turut diguna pakai di sekolah swasta, termasuk sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa yang setara dengan sekolah rendah di bawah KPM.

"Bagi sekolah rendah yang mempunyai kurang daripada 600 murid pula, semua murid sama ada di sekolah harian atau swasta, akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

"Bagaimanapun, sekolah rendah swasta termasuk sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa dengan enrolmen melebihi 600 pelajar, boleh mengemukakan permohonan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya," katanya menerusi rakaman video dimuat naik dalam Facebook beliau, hari ini.

Mengulas mengenai pemakaian pakaian seragam sekolah, Mohd Radzi menjelaskan bahawa KPM menggalakkan semua pelajar sama ada sekolah rendah atau menengah, untuk memakai pakaian seragam apabila hadir ke sekolah nanti.

"Namun, kita sedar ada anak-anak kita yang pakaian mereka mungkin sudah tidak sesuai. Oleh itu untuk pelajar ini, kita membenarkan mereka hadir ke sekolah dengan pakaian sopan dan sesuai.

"Bagi kehadiran murid, sepertimana dilaksanakan sebelum ini, sekiranya ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah, ketidakhadiran itu tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin.

"Namun, ibu bapa perlu memaklumkan ketidakhadiran itu kepada pihak sekolah untuk tujuan rekod," ujarnya.

Mohd Radzi turut memaklumkan, sebanyak 10 peratus daripada murid sekolah rendah akan menjalani ujian kendiri Covid-19 di rumah.

"Kementerian akan membekalkan kit ujian berkenaan dan murid terbabit perlu melakukannya di rumah serta melaporkan keputusan ujian itu kepada pihak sekolah.

"Kita sudah melaksanakan pendekatan ini pada penggal sebelum ini dan akan menggunakan pendekatan sama untuk penggal 1 yang akan bermula 21 Mac ini," jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok