251021-pick
251021-pick

SelVAX Remaja sasar vaksin 10,000 remaja

webadmin
25 Oct 2021 03:25pm
A
A
A

SELANGOR – Program Vaksin Selangor (SelVAX) Remaja menyasarkan kira-kira 10,000 remaja di seluruh Selangor termasuk individu yang tercicir dari data serta tidak bersekolah menerima vaksin Covid-19 bermula semalam (Ahad).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah itu dijangka dapat dicapai berdasarkan perkembangan terkini di mana masih ramai remaja mendaftar untuk vaksinasi sehingga hari ini.

Amirudin (kanan) beramah mesra dengan remaja-remaja yang mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 ketika melawat Program Vaksinasi Selangor (SelVax) Remaja di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya Pelabuhan Klang, semalam.

Menurutnya, setakat ini lebih 3,000 individu berusia 12 hingga 17 tahun sudah dikenal pasti termasuk remaja yang tidak berada dalam senarai pangkalan data.

“Ini kelompok yang kita jangka boleh kita gapai dengan program-program SelVAX Remaja yang kita atur di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

“Sambutan hari pertama program ini agak menggalakkan, sekiranya berterusan kita mungkin boleh dapat sekurang-kurangnya 10,000 remaja dan kita fokus remaja yang tidak dapat janji temu di bawah PICK Remaja,” katanya kepada pemberita.

Amirudin berkata, sebagaimana SelVAX Komuniti dan SelVAX Industri, SelVAX Remaja juga berperanan untuk melengkapi dengan mempercepatkan kelompok yang mungkin agak lewat penerimaannya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua ditemui selepas meninjau hari pertama program SelVAX Remaja di Dewan Serbaguna MPK Pandamaran Jaya di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatanluasa Tetap Kesihatan Awam, Dr Siti Mariah Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Program Selvax Remaja bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dan akan diperluas ke beberapa kawasan DUN antaranya Pandamaran, Bukit Lanjan dan Tanjung Sepat.

Pada 7 Oktober lalu, Amirudin mengumumkan SelVAX diperluas kepada penerima remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kerajaan negeri Selangor telah melancarkan SelVAX Komuniti dan Selvax Industri pada Jun lalu bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini diikuti Selvax bergerak.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok