zehan
zehan

Seni kraf kayu kekal relevan, miliki prospek kerjaya cerah dan peluang jana pendapatan

Nor Azma  Muhamat Laila
28 Dec 2021 12:16pm
A
A
A

Seni kraf atau ukiran kayu mungkin sering dikaitkan dengan ‘orang lama’ dan jarang sekali dijadikan kerjaya pilihan khususnya dalam kalangan anak muda.

Sejajar dengan peredaran zaman, perkembangan industri dan kecanggihan teknologi pada hari ini, kita dapat lihat seni pertukangan kayu dan ukiran mula berjaya menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang tersebut.

Kemunculan pelbagai produk perabot menggunakan kayu ‘pallet’ yang dilihat popular ketika ini juga menyebabkan ramai anak muda mula memilih untuk mengusahakan sendiri perniagaan masing-masing bagi menjana pendapatan.

Jadi, tidak hairan jika industri seni kraf kayu ini menjadi semakin popular sehingga mendorong kepada lebih ramai individu tampil dengan produk jenama sendiri.

Pengarah Kanan Institut Kraf Negara (IKN), Abdul Halim Ali berkata, selagi ada permintaan daripada pengguna dan penawaran oleh industri, seni pertukangan kayu akan terus kekal relevan pada masa depan.

“Pendaftaran pelajar di beberapa institusi yang menawarkan program pengajian dalam jurusan seni kraf kayu termasuklah di IKN turut meningkat kerana bidang ini menyediakan pembelajaran yang berfokus bagi melahirkan graduan yang berkemahiran dan berkualiti tinggi.

“Penganjuran program pembangunan komuniti yang diadakan IKN juga turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat untuk mendapatkan kemahiran bagi menghasilkan produk atau ukiran kayu sekali gus menunjukkan bidang ini terus mendapat perhatian,” katanya ketika dihubungi GPSBestari, baru-baru ini.

Pengarah Kanan Institut Kraf Negara (IKN), Abdul Halim Ali.

Graduan berkualiti tinggi

Sementara itu, Ketua Jurusan Seni Kraf Kayu IKN, Norzehan Adli Muhamad berkata, bagi melahirkan graduan yang berkemahiran dan berkualiti, kaedah pembelajaran dan pengajaran secara praktikal lebih ditekankan bagi membiasakan pelajar dengan kerja-kerja membuat produk berasaskan kayu.

Ujarnya, pelajar di IKN akan memberi tumpuan kepada kelas rekaan (studio) dan kelas kemahiran (bengkel). Di dalam kelas rekaan, para pelajar akan belajar membuat kajian awal, menjana idea, membuat reka cadang, lukisan sebenar dan prototaip.

“Bagi kelas kemahiran di bengkel pula, para pelajar akan membuat sampel produk kayu yang diberi oleh tenaga pengajar seperti panel ukiran dan aksesori di atas meja menggunakan kemudahan lengkap yang disediakan.

“Kemudahan seperti peralatan untuk mengukir iaitu pahat ukir, mesin mudah alih, meja kerja, dan mesin jentera untuk membelah, memotong, membuat tanggam, menebuk lubang serta melarik ini disediakan supaya mereka boleh menjadi pelajar yang berkemahiran tinggi dan memenuhi permintaan pelanggan di masa depan,” jelasnya.

Berkongsi mengenai cabaran yang dihadapi dalam menarik minat pelajar terhadap seni pertukangan kayu ini, Norzehan Adli berkata, pihaknya perlu bijak dalam menganjurkan pelbagai program untuk menaikkan semangat dan memberi pendedahan mengenai prospek kerjaya yang menanti mereka di masa depan.

Ketua Jurusan Seni Kraf Kayu IKN, Norzehan Adli Muhamad.

Kebiasaannya kita akan mengadakan lawatan industri ke tempat adiguru kraf ukiran kayu yang tersohor seperti Norhaiza Nordin di Besut, Terengganu, dan bekas pelajar seni kraf kayu yang telah berjaya.

“Bagi mengetengahkan bidang seni kraf kayu ini kepada komuniti pula, IKN telah menganjurkan program Edukraf untuk pelajar sekolah bagi menarik minat mereka manakala golongan belia pula didedahkan dengan program Creative, Craft Studio di bawah Pusat Kecemerlangan Kraf untuk kursus jangka pendek mengikut modul yang ditetapkan,” kongsinya lagi.

Usahawan kraf kayu

Pelajar tahun akhir Jurusan Seni Kraf Kayu di IKN, Muhammad Bazli Rais Sapri, 22, pula berpendapat peluang pengajian dalam bidang berkenaan mampu membuka ruang kepada graduan untuk bergelar usahawan sekali gus menjana pendapatan yang tinggi.

Muhammad Bazli Rais bersama produk kayu yang dihasilkannya.

“Saya memang minat seni pertukangan kayu dan ukiran sejak dari sekolah rendah lagi secara tidak langsung mendorong saya untuk menyambung pengajian dalam jurusan ini kerana mahu menjadi pewaris seni warisan negara yang semakin dilupakan oleh golongan muda.

Muhammad Bazli Rais Sapri.

“Memiliki kemahiran dalam bidang seni kraf kayu ini membolehkan seseorang graduan mengeluarkan reka bentuk dan produk jenama sendiri dan dalam masa yang sama boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi muda hari ini menerusi perniagaan yang dijalankan,” ujarnya.

Bapa kepada seorang pelajar di IKN, Fauzi Ismail, 60, turut sependapat bahawa bidang seni kraf kayu memberikan peluang kerjaya yang cerah kerana ketika ini banyak seni digunakan dalam pembuatan perabot, rekaan dalaman rumah, pejabat dan sebagainya tidak kira di dalam atau luar negara.

Fauzi Ismail.

“Saya sangat bersetuju apabila anak saya memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang seni kraf kayu kerana dia memang menunjukkan minat sejak dari bangku sekolah lagi dengan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti seni kraf.

“Saya berpendapat, sejak dari dulu sehingga sekarang, seni ukiran kayu ini tak lapuk dek zaman malah ia semakin meluas diperkenalkan di peringkat global dan berharap seni ini dapat diteruskan oleh anak-anak muda di masa depan,” tuturnya mengakhiri perbualan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok