WhatsApp Image 2022-12-10 at 12.54.41 PM
WhatsApp Image 2022-12-10 at 12.54.41 PM

Sesi persekolahan tahun depan bermula 19 Mac

Adlan Farhan Azwan
10 Dec 2022 12:45pm
A
A
A

Sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 akan bermula pada 19 Mac 2023 hingga 9 Mac 2024 bagi sekolah di negeri Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sesi persekolahan di negeri Kumpulan B pula berlangsung bermula pada 20 Mac 2023 hingga 10 Mac 2024.

Kumpulan B terdiri daripada sekolah di negeri Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan ketetapan untuk menangguhkan pembukaan sekolah bagi sesi persekolahan Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 yang dijadualkan bermula pada 12 Mac 2023 bagi Kumpulan A dan 13 Mac 2023 untuk Kumpulan B itu bertujuan supaya pengoperasian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 dikekalkan pada Mac 2023 untuk memastikan KPM mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021 yang menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada 190 hari,” menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Sementara itu, KPM mengambil maklum cadangan daripada beberapa pihak untuk mengembalikan permulaan sesi persekolahan kepada Januari.

“KPM berpandangan bahawa perkara ini boleh dilaksanakan dengan memendekkan cuti persekolahan secara berperingkat bermula daripada tahun 2023 sehingga 2026 dengan pematuhan kepada jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik.

“Namun, mengambil kira kebajikan guru, murid dan kesan kepada ekonomi negara, KPM mengambil keputusan untuk menangguhkan cadangan ini bagi meminimumkan impak kepada pihak berkaitan,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, KPM juga mengambil kira pelbagai pandangan diterima daripada pemegang taruh untuk mengelakkan peperiksaan SPM diadakan pada November dan Disember kerana bertembung dengan musim tengkujuh.

Ini kerana pelaksanaan peperiksaan SPM dalam musim tengkujuh boleh menimbulkan tekanan bukan sahaja bagi guru dan petugas peperiksaan, malah kepada murid dan ibu bapa yang terlibat.

“Apabila SPM diadakan pada Februari atau Mac, tempoh menunggu untuk calon terbabit bagi kemasukan ke universiti juga akan lebih pendek berbanding sebelum ini.

“Walau bagaimanapun, KPM sentiasa melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum,” tambah kenyataan itu lagi.

Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 boleh di muat turun melalui laman sesawang KPM di pautan https://www.moe.gov.my/takwim.

Artikel berkaitan

Cuti Sekolah Penggal 3 bermula 9 dan 10 Disember ini

Manfaat aktiviti selepas sesi persekolahan, Cikgu Nasir ada jawapannya

Pendidikan inklusif beri peluang murid pendidikan khas terus berdaya saing


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok