SJKT Bayan Lepas jual beg boleh guna, keuntungan digunakan beli tablet untuk murid
SJKT Bayan Lepas jual beg boleh guna, keuntungan digunakan beli tablet untuk murid

SJKT Bayan Lepas jual beg boleh guna, keuntungan digunakan beli tablet untuk murid

webadmin
22 Feb 2021 04:13am
A
A
A

GEORGE TOWN - Sebuah sekolah di sini mengambil inisiatif melaksanakan projek kesedaran alam sekitar dengan menjual beg boleh guna semula yang diperbuat dari kain kapas dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik, dan menyalurkan keuntungannya bagi membeli tablet bagi kegunaan pembelajaran murid secara dalam talian.

Guru besar SJK (T) Bayan Lepas Pulau Pinang, Sangga Sinnayah berkata susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), sekolah itu mengesan beberapa pelajarnya tidak dapat menyertai kelas kerana tidak memiliki peranti itu.

"Kami bertekad untuk menyelesaikan masalah ini dengan menjual beg-beg ini dengan harga RM10 tiap satu, dan sehingga kini kami peroleh RM5,000 hasil jualan sejak tiga hari lepas,” katanya kepada Bernama, dan menambah sekurang-kurangnya 80 peratus daripada 130 pelajarnya adalah dalam kalangan keluarga B40.

Beliau berkata usaha murni sekolah itu mendapat respons baik daripada ramai ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang sanggup membayar lebih memandangkan ia adalah sebahagian daripada kerja-kerja amal kebajikan.

Sangga berkata beliau yakin projek itu akan membolehkan sekolah mengumpul RM21,000 dan membeli sekurang-kurangnya 40 tablet, yang nanti akan dipinjamkan kepada pelajar yang memerlukan bagi tempoh setahun.

"Kami sasarkan untuk membeli semua tablet ini Jumaat depan. Dengan usaha ini kami harap semua pelajar kami akan dapat mengambil bahagian dalam kelas PdPR,” katanya.

Guru besar itu seterusnya turut menyuarakan kebimbangannya dengan penggunaan bes plastik yang berlebihan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata sekolah itu juga akan mengkaji usaha bagi menghasilkan lebih banyak beg diperbuat dari kain kapas yang boleh diguna semula, malah menghasilkan ‘pinggan biodegradasi’ bagi meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar dalam kalangan pelajarnya dan juga masyarakat - BERNAMA

Artikel menarik

Pelajar Sarjana Muda Perakaunan UUM raih markah ketiga tertinggi dunia

‘Mengurus PdPR ketika pandemik, pengalaman berharga buat kami’- Cikgu Tumin Yatman


 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok