SK Taman Desa Johan Pertandingan Video TV PSS bagi kategori sekolah rendah di Selangor.
SK Taman Desa Johan Pertandingan Video TV PSS bagi kategori sekolah rendah di Selangor.

SK Taman Desa, SMK Dengkil johan Pertandingan Video TV PSS 2023

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
12 Dec 2023 11:11am

Program Jelajah TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) peringkat negeri Selangor anjuran Sinar Bestari dengan kerjasama Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, melabuhkan tirai dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa dinobatkan sebagai johan.

Menurut guru pembimbing sekolah, Nur Amirah Ab Raop, usaha keras yang dicurahkan dalam menghasilkan video usai sahaja tamat menyertai program jelajah itu, membuahkan hasil lumayan dan membanggakan buat murid serta sekolah.

“Alhamdulillah, ini adalah rezeki anak-anak TV PSS SK Taman Desa yang daripada awal amat teruja untuk merekod dan menghasilkan video.

“Mereka sendiri yang menyumbangkan idea dan pendapat bagi struktur video yang ingin dihasilkan.

“Manakala saya selaku guru pembimbing hanya bertindak sebagai penasihat,” katanya kepada wartawan selepas Majlis Pengiktirafan Video TV PSS, Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Shah Alam pada Selasa lalu.


SMK Dengkil Johan Pertandingan Video TV PSS bagi kategori sekolah menengah di Selangor.
SMK Dengkil Johan Pertandingan Video TV PSS bagi kategori sekolah menengah di Selangor.

Nur Amirah memberitahu, video yang dihasilkan murid TV PSS sekolahnya bertemakan bulan kemerdekaan memandangkan ia direkod pada Ogos lalu.

Menerusi video itu, murid-murid menumpukan pelbagai aktiviti menarik yang dianjurkan oleh sekolah sepanjang bulan tersebut, selain turut mengetengahkan bakat penyampaian berita yang disampaikan oleh wakil pasukan TV PSS sekolah.

Artikel Berkaitan:

“Insya-ALLAH, sekiranya dianjurkan lagi program sebegini pada tahun depan, kami amat berbesar hati ingin menyertainya kerana saya lihat penubuhan TV PSS sangat bermanfaat terutama dalam membentuk kemenjadian murid.

“Ia bukan sahaja memupuk minat murid dalam bidang penghasilan video, malah membina keyakinan mereka untuk tampil berani di hadapan kamera,” katanya lagi.

Sementara itu, juara kategori sekolah menengah disandang oleh peserta dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil yang menghasilkan video berkonsepkan Muzium Negara.

Guru pembimbing sekolah, Muhammad Hafiz Lotfi 'Amer berkata, para pelajarnya sangat berdedikasi sepanjang penghasilan video berkenaan, bahkan sanggup menghabiskan masa sehari suntuk di Muzium Negara untuk merekod video.

“Kesemua pelajar TV PSS SMK Dengkil banyak menyumbang idea dan masing-masing mempunyai kreativiti tersendiri yang saya lihat membantu mencantikkan lagi video mereka.

“Kemenangan ini adalah milik mereka yang sudah berhabis tenaga dan idea. Saya selaku guru pembimbing sangat bangga dengan pencapaian yang mereka capai pada hari ini,” ujarnya.

Untuk rekod, Majlis Pengiktirafan Video TV PSS telah berlangsung dengan mengumumkan senarai pemenang rentetan Program Jelajah TV PSS yang dilaksanakan sejak Mei lalu.

Sebanyak sembilan sekolah bagi kategori sekolah rendah dan 10 sekolah menengah mewakili setiap daerah Selangor terpilih untuk menerima pengiktirafan.

REAKSI

"Ketika diumumkan sebagai johan, saya dan rakan-rakan tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja serta seronok. Kami semua melompat kegembiraan kerana hasil titik peluh ini berjaya mengangkat pasukan TV PSS sekolah.”

- Murid Tahun Enam, SK Taman Desa, Nur Iffa Raihana Mohd Ahmad

NUR IFFA
NUR IFFA

"Walaupun dapat tempat kedua, saya dan pasukan TV PSS sekolah amat berbangga dengan pencapaian ini kerana tidak mudah juga untuk kami hasilkan video. Ada banyak perkara baharu yang perlu dipelajari. Ini merupakan permulaan buat kami untuk cuba lagi pada tahun akan datang.”

- Murid Tahun Lima, SK Tanjung Sepat, Nur Yasmin Inarah Mustafa Kamil

NUR YASMIN
NUR YASMIN

"Saya terharu ketika nama sekolah diumum sebagai johan kerana mengenang kembali usaha kami untuk turun padang merekod video, selain mengeluarkan duit sendiri sepanjang perjalanan menghasilkan video ini.”

- Pelajar Tingkatan Tiga, SMK Dengkil, Nur Hana Izzary Mohd Azmin

NUR HANA
NUR HANA

"Saya dan rakan-rakan tidak menyangka meraih tempat dalam pertandingan ini, apatah lagi menyandang naib johan. Alhamdulillah untuk segala usaha keras yang dicurahkan sepanjang penghasilan video.”

- Pelajar Tingkatan Tiga, SMK Tiram Jaya, Ain Shafina Subandzi

AIN SHAFINA
AIN SHAFINA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp