SPM 2024: Hubungi bilik gerakan jika calon ada masalah
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminta mana-mana calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berdepan sebarang isu berkaitan peperiksaan berkenaan untuk menghubungi Bilik Gerakan Lembaga Peperiksaan atau Jabatan Pendidikan yang disediakan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pihaknya bersedia membantu calon-calon SPM dalam memastikan mereka tidak tercicir untuk mengambil peperiksaan.
Menurutnya, KPM sentiasa bersedia berdepan sebarang situasi atau isu berbangkit sepanjang tempoh peperiksaan bertulis yang bermula pada 2 Januari sehingga 6 Februari depan.
"Pihak KPM mampu untuk mengendali situasi yang berbangkit sekiranya ada bagi memastikan kebajikan dan juga kehadiran anak-anak kita ke peperiksaan SPM ini.
"Mana-mana calon bukan sahaja yang ditimpa dengan bencana, tetapi ada apa-apa isu berkenaan dengan peperiksaan bolehlah menghubungi Bilik Gerakan supaya pihak KPM dapat membantu dari masa ke masa," katanya selepas meninjau perjalanan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kampung Pasir Putih di sini pada Khamis.
Mengenai calon di kawasan yang ditimpa bencana banjir, Kah Woh berkata, pihak kementerian akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) dalam Op Payung sebelum ini.
Menurutnya, pengalaman membantu mangsa banjir ketika ketika Ujian Lisan SPM sebelum ini akan digunakan untuk memastikan calon mengambil peperiksaan berkenaan.
"Pihak KPM telah bersedia untuk operasi sebelum ini yang dinamakan sebagai Op Payung untuk memastikan kehadiran anak-anak kita menduduki SPM. Itu adalah komitmen dan juga usaha daripada KPM.
"Pada masa sama juga, KPM bekerjasama dengan pihak Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan pihak Jabatan Meteorologi untuk membuat persediaan awal berkenaan dengan segala perkara yang diperlukan," katanya.