
Street Soccer gilap bakat pelapis bintang bola sepak
Pertandingan Street Soccer yang dianjurkan sempena Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 turut menjadi platform untuk menggilap bakat pelapis bintang bola sepak kerana ia menguji kemahiran dan ketahanan mental pemain menggelecek bola.
Kejohanan yang dikendalikan MVP Marketing Sdn Bhd itu menyaksikan sebanyak 25 pasukan mengambil bahagian membabitkan 17 pasukan bersaing bagi kategori Bawah 12 Tahun (B12) dan lapan Bawah 10 Tahun (B10).
Pengarah Urusan WVP Marketing Sdn Bhd, Wong Wing Wai berkata, kemahiran asas sukan bola sepak terus diasah menerusi perlawanan itu yang menuntut pemain beraksi bukan di atas padang.

"Kalau kita lihat di Brazil, ramai bintang-bintang bola sepak mereka datang dari pemain bola sepak jalanan, jadi tidak mustahil kita juga dapat hasilkan pelapis pemain bola sepak negara daripada aktiviti bola sepak jalanan sebegini.
"Pada masa sama kita juga mungkin boleh lahirkan lebih ramai 'freesytler' berbakat Malaysia seperti Zeem Ahmad yang mahir menimbang bola," katanya ketika ditemui dalam pertandingan itu pada petang Ahad.
Wing Wai menegaskan, penyertaan perserta dari kelab-kelab peringkat kawasan dan daerah dalam pertandingan berkenaan akan membentuk bakat-bakat dari peringkat akar umbi.
''Persaingan dalam pertandingan ini juga sengit kerana setiap pasukan menampilkan pemain yang hebat dan pemain-pemain ini juga mungkin ada yang mewakili sekolah atau peringkat lebih tinggi," katanya.
Juara kejohanan berkenaan bagi kategori B12 digondol pasukan Titan Strickers Fantastic (B) sementara johan B10 menjadi milik pasukan CJ Warriors sekali gus membolehkan mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM400 bersama pingat dan sijil.
Naib juara B12 dan B10 pula masing-masing dimenangi Tok Mat United dan Prince Ville (Yellow) seterusnya melayakkan kedua-dua pasukan terbabit menerima hadiah wang tunai RM200, pingat dan sijil.

Sementara itu, ibu salah seorang peserta, Fazilah Jamil, 50, berkata, kelincahan anaknya, Wan Muhammad Harraz Wan Irwan bermain bola lebih terserlah pada pertandingan itu yang berlangsung di dataran Karangkraf berbanding bermain di padang bola sepak yang besar.
"Ini juga menjadi pentas buat pemain-pemain untuk pergi lebih ke depan agar bakat mereka tidak hanya berada di takuk lama," katanya.
Dalam pada itu, jurulatih pasukan Star Ball FC yang turut mengambil bahagian dalam kategori B12, Asri Jaafar menyarankan agar program sama dapat terus dianjurkan untuk menaikkan lagi mutu permainan bola sepak.
"Anak-anak yang ambil bahagian memang ada bakat cuma pendedahan masih kurang jadi eloklah ia diteruskan lagi pada masa-masa akan datang," syornya.