Tambah baik program TVET KPLB agar selari dengan kehendak industri
PADANG TERAP - Institusi pendidikan yang menawarkan kursus Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), perlu menyusun semula program kursus yang ditawarkan agar selari dengan perkembangan sektor industri.
Menteri KPLB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program TVET yang ditawarkan juga perlu memastikan pelajar lulusannya mendapat jaminan pekerjaan.
"Dalam TVET ini ada banyak bidang dan tiga peringkat iaitu sijil, diploma dan ijazah tetapi kursus itu kena bersesuaian dengan industri yang ada, contohnya minyak dan gas ada dalam TVET Universiti Kuala Lumpur (UniKL), tetapi boleh atau tidak disesuaikan dengan kehendak industri.
"Apabila kita cakap pasal automotif, yang ada di dalam industri itu jenis mekanik yang macam mana yang diperlukan industri automotif, kereta-kereta moden sekarang ini sudah guna hibrid, ada yang pakai separuh petrol separuh bateri dan akan datang ini adalah EV iaitu kereta-kereta elektrik," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Baucer Persekolahan 2022 Parlimen Padang Terap di Dewan Bangunan UMNO Padang Terap di sini, pada Ahad.
Jelas Mahdzir, walaupun kebolehpasaran lulusan TVET KPLB ketika ini pada tahap 88 peratus, angka itu boleh ditingkatkan jika semua program kursus yang ditawarkan memenuhi kehendak industri.
"Sekarang kita sudah ada kerjasama dengan pemain industri, cumanya kalau kita ambil pelajar misalnya 40 orang pelajar, adakah pelajar itu mendapat kerja atau tidak.
"Kita tidak mahu mereka yang lulus diploma TVET misalnya tetapi tidak mendapat kerja kerana tidak selari dengan industri," ujarnya.
Tambah beliau, antara bidang kursus yang perlu dikaji semula untuk memenuhi keperluan industri adalah bidang perkapalan, kejuruteraan rel keretapi, automotif, minyak dan gas serta fesyen.
"Dalam Amanat (Tahun Baharu 2022 KPLB) semalam, saya sebut bahawa kita perlu duduk semula bersama semua agensi (pendidikan TVET) untuk koordinasi.
"Kita tidak perlu buat benda yang sama, semua kolej buat benda yang sama, kursus yang sama di dalam KPLB," jelas Mahdzir.