Photo 7 (1)
Photo 7 (1)

Taylor’s lancar Makmal Komputer DuckiePi, sumbang 158 peranti pembelajaran kepada keluarga B40 dan pusat komuniti

Mohd Khairi Mohamad YusriMohd Khairi Mohamad Yusri
22 Dec 2021 09:48am

PETALING JAYA - Taylor’s University baru-baru ini melancarkan Makmal Komputer DuckiePi dalam usaha merapatkan jurang digital dan pendidikan komuniti B40 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 dan 2 yang menghadapi kesulitan mengakses sumber pembelajaran.

Makmal tersebut yang dilengkapi dengan peranti pembelajaran DuckiePi ciptaan pelajar-pelajar Taylor’s University dan beroperasi di Pusat Komersial NZX akan diguna pakai oleh Me.reka Belia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan program celik digital bagi memperkasakan remaja dan bakal usahawan dalam kalangan B40 dengan kemahiran digital dan web.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, pendidikan sangat penting untuk semua peringkat masyarakat, terutama anak-anak yang tertinggal dalam pembelajaran mereka semasa pandemik.

“Peranti-peranti ini memperkasa anak-anak dan memberikan mereka peluang untuk meraih pengetahuan dan memastikan pembelajaran tidak terhenti,” ujarnya.

Dibina dengan kos RM500 sebuah, Taylor’s telah berjaya mengumpul dana lebih daripada RM70,000 untuk menyumbang 158 DuckiePi di seluruh negara.

Dibangunkan oleh para pelajar sebagai sebahagian daripada projek Taylor’s Me.reka Makerspace (TMM), DuckiePi dijana oleh Raspberry Pi, sebuah komputer tunggal bersaiz kad kredit dan memiliki aplikasi seperti Zoom dan Google Suites, juga fungsi mikrofon serta kamera.

Naib Canselor (Penyelidikan dan Perusahaan) Taylor’s University, Profesor Madya Dr Anthony Ho Siong Hock berkata, projek yang lahir daripada Taylor’sphere ini merupakan ekosistem pembelajaran dan komuniti dalam usaha memupuk pertumbuhan intelektual, mental dan emosi pelajar untuk menjadi pelajar yang kuat sahsiah dengan kemahiran yang betul untuk mencapai kejayaan.

“Ketika pandemik terus mengganggu pembelajaran 5 juta pelajar di sini, para pelajar kami dari Kelab Makers, Kelab Robotics dan Agents of Tech Taylor’s berganding tenaga untuk membangunkan Taylor’s DuckiePi.

“Dibimbing oleh Taylor’s Me.reka Makerspace, sebuah hab kerjasama pembelajaran yang menjadi sebahagian daripada ekosistem Taylor’sphere, para pelajar kami mempraktikkan apa yang dipelajari untuk membawa impak ke atas komuniti di sekitar mereka,” katanya.

Selain Makmal Komputer DuckiePi, peranti-peranti turut disumbangkan kepada keluarga-keluarga di PPR Lembah Subang, anak-anak dan guru-guru di sekolah pedalaman iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sukang di Lawas, Sarawak, serta keluarga-keluarga di seluruh negara menerusi kerjasama dengan pelbagai NGO.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp