Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) berkenan berangkat ke Majlis Kemuncak Festival TV PSS Peringkat Kebangsaan 2025 di Hotel Geno sambil diiringi Farah (kiri) dan Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahir (kanan).
Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) berkenan berangkat ke Majlis Kemuncak Festival TV PSS Peringkat Kebangsaan 2025 di Hotel Geno sambil diiringi Farah (kiri) dan Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahir (kanan).

Tengku Permaisuri Selangor berkenan sempurnakan Majlis Kemuncak Festival TV PSS 2025

24 Sep 2025 03:32pm

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Kemuncak Festival TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) Peringkat Kebangsaan 2025 di Hotel Geno, Subang Jaya, Selangor.  

Keberangkatan tiba baginda kira-kira 10.10 pagi disambut Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Aniza Kamarulzaman dan Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamudin.

Program anjuran bersama BSTP KPM dan Sinar Bestari itu diadakan bagi mengangkat peranan TV PSS sebagai platform pembelajaran digital kreatif dengan keterlibatan menyeluruh sekolah di Malaysia.

Sebanyak 32 penyertaan melibatkan sekolah rendah dan menengah di seluruh negara mengambil bahagian, dengan lapan kategori dipertandingkan antaranya pengacara terbaik, penyunting terbaik dan guru TV PSS terbaik.

Festival kali ini membawa tema 'Transformasi Digital, Kelestarian Sejagat, Kreativiti Tanpa Batasan Meneroka Masa Depan: Teknologi dan Alam' yang memberi tumpuan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) berkenan melawat reruai pameran Festival TV PSS pada Majlis Kemuncak Festival TV PSS Peringkat Kebangsaan 2025 di Hotel Geno hari ini.
Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) berkenan melawat reruai pameran Festival TV PSS pada Majlis Kemuncak Festival TV PSS Peringkat Kebangsaan 2025 di Hotel Geno hari ini.

Sementara itu, Aniza berkata, Festival TV PSS menjadi platform menghubungkan kredibiliti pelajar dengan keperluan pendidikan abad ke-21, selain memperkukuh kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan kerjasama berpasukan serta mengasah bakat mereka dalam bidang penyiaran dan media digital.

Artikel Berkaitan:

"Melalui festival ini, KPM yakin lebih ramai pelajar akan tampil sebagai agen perubahan yang berani, inovatif dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negara," katanya dalam kenyataan.

Farah pula berkata, TV PSS turut menjadi pemangkin usaha memperkukuh sistem pendidikan negara dengan memupuk budaya celik digital, kolaborasi berpasukan serta kepimpinan berasaskan komunikasi, seiring aspirasi KPM melahirkan pelajar holistik, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

TV PSS diwujudkan bagi melatih murid dan pelajar sekolah menghasilkan kandungan pendidikan berbentuk video sekali gus menggalakkan penguasaan kemahiran media, kewartawanan dan penerbitan seiring perkembangan teknologi digital. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menyempurnakan Majlis Kemuncak Festival TV PSS Peringkat Kebangsaan 2025
  • Festival diadakan untuk meningkatkan peranan TV PSS sebagai platform pembelajaran digital
  • Sertai oleh 32 penyertaan dari sekolah rendah dan menengah dengan lapan kategori dipertandingkan
  • Tema festival adalah Transformasi Digital, Kelestarian Sejagat, Kreativiti Tanpa Batasan yang memberi tumpuan kepada STEM dan TVET
  • TV PSS bertujuan melatih murid menghasilkan kandungan video pendidikan, menggalakkan kemahiran media dan digital
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp