tenun13
tenun13

Tenunan, warisan seni bernilai tinggi, IKTPD main peranan lahir pelapis muda 

Nor Azma  Muhamat Laila
28 Feb 2022 02:03pm
A
A
A

Penghasilan kain tenun bukan saja memerlukan kemahiran yang tinggi malah menuntut ketelitian, kreativiti dan kesabaran daripada penenun untuk menghasilkan produk yang berkualiti dan mampu memenuhi permintaan pasaran dalam dan luar negara.

Hari ini, seni warisan itu dilihat semakin dilupakan oleh generasi muda yang lebih gemar menghabiskan masa bersama gajet masing-masing berbanding mempelajari kemahiran menenun yang mampu memberikan pulangan lumayan.

Bagi memastikan warisan tradisional itu tidak terus hilang ditelan zaman, pelbagai usaha dilakukan untuk memartabatkan hasil tenun negara termasuklah penubuhan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam (IKTPD) sekali gus melahirkan lebih ramai generasi muda yang meminati bidang tenunan.

Pengurus IKTPD, Fairuz Hafiezal Rosli berkata, institut berkenaan menawarkan program latihan peringkat sijil sepenuh masa membabitkan tempoh pengajian selama dua tahun kepada individu yang berminat mempelajari kemahiran Tenun Diraja Pahang.

“Sepanjang pengajian, pelajar akan diberikan pendedahan bermula daripada asas pembuatan hinggalah kepada penghasilan kain tenun Diraja Pahang dengan bimbingan tenaga pengajar yang berpengalaman dan kemudahan tenunan lengkap.

“Mereka turut disediakan tempat tinggal, makan minum dan elaun bulanan malah peluang pekerjaan cerah turut menanti graduan yang berjaya menamatkan pengajian termasuklah bekerja di bawah syarikat tenun milik Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah iaitu Tenun Che Minah Sayang,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari di IKTPD, baru-baru ini.

Pengurus IKTPD, Fairuz Hafiezal Rosli.

Sejak memulakan pengambilan penuntut sesi pertama pada Julai 2010, IKTPD sudah melahirkan 45 pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja.

Pupuk minat

Mengulas mengenai peranan yang dimainkan dalam memupuk minat generasi muda dalam bidang tenunan terutama Tenun Pahang Diraja, Fairuz Hafiezal berkata, antara usaha yang dilakukan termasuklah memberikan kebebasan kepada pelajar untuk menterjemahkan idea moden dan kontemporari dalam setiap kain tenun yang dihasilkan.

“Pelajar akan dibantu untuk menghasilkan produk kontemporari ketika berada di semester akhir dan kebanyakan hasil tenunan mereka sangat menarik dan luar biasa kerana mengetengahkan motif moden yang tidak disangka-sangka termasuklah elemen yang ada dalam Star Wars.

“Selain itu, kita turut mengadakan sesi promosi melalui program jerayawara untuk memperkenalkan lagi produk Tenun Pahang Diraja sekali gus menarik minat generasi muda untuk mempelajari kemahiran ini,” ujarnya.

Penolong Pegawai Latihan IKTPD, Siti Hajar Sh Othman.

Sementara itu, Penolong Pegawai Latihan IKTPD, Siti Hajar Sh Othman yang mula menjadi tenaga pengajar dalam bidang tenunan sejak 2006 berkata, kemahiran itu perlu dikuasai oleh generasi muda supaya ia tidak luput ditelan zaman.

“Apabila belajar mengenai proses pembuatan kain tenun ini, generasi muda akan lebih menghargai warisan ini. Tidak dinafikan, bukan mudah untuk menguasai kemahiran Tenun Diraja Pahang ini tetapi melalui bimbingan dan minat yang tinggi terhadap seni warisan ini, ramai generasi muda sudah berjaya menjadi penenun dan menghasilkan kain tenun yang bermutu tinggi untuk industri kraf negara.

“Selain itu, ibu bapa, keluarga, guru-guru, pihak sekolah dan masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam memupuk minat golongan muda untuk memilih bidang ini kerana ia sebenarnya menjanjikan peluang pekerjaan yang cerah tidak kiralah makan gaji atau membuka perniagaan sendiri pada masa depan,” kongsinya.

Tambahnya, antara langkah yang boleh diambil oleh guru dan pihak sekolah untuk memupuk minat generasi muda dalam bidang tenunan ialah dengan mengadakan program atau lawatan ke IKTPD untuk melihat sendiri proses menghasilkan kain Tenun Pahang Diraja.

Peluang kerjaya

Ibu kepada salah seorang pelajar di IKTPD, Noryasmi Abdul Majid pula berkata, dia memilih untuk menghantar anaknya kerana institut berkenaan adalah satu-satunya pusat kecemerlangan pendidikan kraf yang menawarkan pengajian program Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja.

“Saya mahu anak saya meneruskan minat dalam bidang tekstil sejajar dengan minatnya dalam dunia fesyen kerana untuk menjadi pereka fesyen perlu ada ilmu yang lebih mendalam termasuklah mengetahui mengenai asal usul sesuatu seni yang dihasilkan seperti Tenun Pahang Diraja.

Noryasmi Abdul Majid.

“Jadi dengan belajar di IKTPD, mereka juga dapat mengenali nilai jati diri serta lebih berketrampilan dalam bidang kraf. Sekiranya anak saya berpeluang untuk melangkah lebih jauh, saya mahu dia membawa keunikan serta sejarah tenunan ini supaya tak luput dek zaman serta mendapat tempat dalam kalangan anak muda,” kongsinya

Pelajar semester empat IKTPD, Nor Fatin Farihah Mohd Zulnaim, 20, pula berkata, dia memilih untuk mengikuti pengajian di institut berkenaan atas saranan keluarganya tetapi lama-kelamaan minat terhadap seni warisan itu mula menebal dalam dirinya.

Pelajar semester empat IKTPD, Nor Fatin Farihah Mohd Zulnaim.

“Apabila sering mendapat pendedahan mengenai seni ini, kita akan mula minat dan suka dengan apa yang dipelajari dan bersemangat untuk menghasilkan produk yang berkualiti dan cantik sepanjang pengajian.

“Insya-ALLAH saya akan meneruskan minat dalam bidang tenunan ini apatah lagi ia menjanjikan peluang pekerjaan yang cerah. Bagi rakan-rakan yang mahu mempelbagaikan kemahiran mereka, boleh memilih untuk mendalami seni tenunan ini supaya lebih ramai orang muda yang mewarisi kemahiran ini di masa depan,” ujarnya mengakhiri perbualan.

 

 

Tip menanam minat menenun

Ambil tahu mengenai asal usul seni tenunan melalui pembacaan.

Belajar mengenai asas tenunan untuk menimbulkan minat terhadap seni berkenaan melalui ahli keluarga yang memiliki kemahiran menenun, adiguru atau pendidikan formal di institusi dan pusat pengajian.

Mengadakan lawatan atau kunjungan ke lokasi yang menyediakan kemudahan menenun atau syarikat yang menghasilkan kain tenun.

Dapatkan pendedahan mengenai prospek kerjaya yang menanti individu yang memiliki kemahiran menenun.

Ambil inspirasi daripada kejayaan individu lain dalam bidang tenunan termasuklah berjaya menjadi pengusaha kain tenun yang berjaya.

 

Apa kata mereka

"Perkembangan industri kraf termasuklah tenunan sudah mula menunjukkan perbezaan pada hari ini kerana lebih ramai anak muda mula berminat mempelajari seni warisan ini tambahan pula banyak promosi dilakukan di media massa dan media sosial,” - Pengusaha Perniagaan Sutera Pulau Keladi, Norakama Zakaria.

Pengusaha Perniagaan Sutera Pulau Keladi, Norakama Zakaria.

"Kalau generasi sekarang tidak berminat dengan tenun, kemungkinan di masa akan datang seni tenunan ini mengalami masalah kekurangan tenaga kerja. Jadi, saya selalu nasihat kepada anak muda supaya sentiasa bersungguh-sungguh ketika belajar mengenai tenunan ini,” - Adiguru Kraf Tenunan Pahang, Nortipah Abdul Kadir @ Makteh.

Adiguru Kraf Tenunan Pahang, Nortipah Abdul Kadir @ Makteh.

"Songket dan Tenun Pahang Diraja adalah produk yang mempunyai tenunan halus dan corak eksklusif serta menarik. Bagi penggemar pakaian tradisi songket, tenunan Pahang Diraja sangat indah dijadikan baju kurung, atau kebarung potongan klasik yang menyerlahkan penampilan pemakai. Jika digunakan dalam rekaan moden, ia dapat menarik golongan muda untuk menggayakannya,” - Peniaga dan peminat songket, Norhidayah Che Din.

Peniaga dan peminat songket, Norhidayah Che Din.

"Sangat relevan jika tradisi tenunan ini diperkembangkan lagi sebagai satu simbolik keindahan kepada masyarakat di Malaysia khususnya di Pahang serta negeri-negeri yang lain bagi tujuan pembelajaran serta ilmu pengetahuan kepada golongan muda pada masa kini,” - Penata fesyen, Dell Idris.

Penata fesyen, Dell Idris.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok