
'Terima kasih Menteri Pendidikan kerana sanggup redah perjalanan menaiki bot demi anak murid' - Warga maya
Sosok tubuh ini tidak pernah gentar menghadapi cabaran terutamanya dalam dunia pendidikan.
Walaupun penuh dengan pandangan berbeza, wanita cekal ini tetap teguh berdiri, menjalankan amanah sebagai Menteri Pendidikan sebaik mungkin demi masa depan generasi negara.
Terbaharu, beliau sanggup meredah perjalanan menaiki bot hampir satu jam menuju ke pedalaman Hulu Perak bagi meninjau sendiri pelaksanaan program Sekolah Terapung yang diwujudkan khusus untuk anak-anak Orang Asli.
"Mengapa perjalanan ini terlalu jauh?"
"Bagaimana anak-anak di daerah ini bersekolah?"
Demikian antara persoalan yang bermain di fikiran Fadhlina Sidek, seperti yang dikongsikan di Facebook Isnin lalu.
Namun, sebaik tiba di Kampung Charuk Bus, menyantuni masyarakat setempat, melihat persiapan anak-anak kecil di awal pagi dan menyaksikan wajah mereka yang begitu bersemangat menuju ke sekolah...segala persoalan itu terjawab dengan sendiri.

"Kami kemudiannya menaiki bot bersama anak-anak menuju ke sekolah terapung berdekatan,” tulisnya.
Menurut Fadhlina, program Sekolah Terapung Tasik Banding adalah satu inisiatif signifikan yang diwujudkan bagi menangani isu keciciran pendidikan dalam kalangan anak-anak Orang Asli di Kampung Charuk Bus, Kampung Tebang dan Kampung Chiong.
"Bayangkan, ramai dalam kalangan anak-anak ini tidak pernah berpeluang ke sekolah. Ada yang telah berusia 13 tahun dan ini adalah pengalaman pertama ke sekolah. Menerusi program ini, pendidikan disampaikan secara fleksibel, sesuai dengan konteks geografi serta keperluan masyarakat setempat," tulisnya.

Fadhlina mengakui, pengalaman turun padang ini begitu bermakna.
"Ia adalah cerminan tekad kami untuk memastikan setiap anak Malaysia menerima pendidikan berkualiti. Tidak kira sejauh mana perjalanan yang perlu ditempuh."
"Kami akan kembali ke sini lagi!" akhirinya.
Untuk info, KPM mengumumkan usahanya mewujudkan inisiatif sekolah terapung khusus untuk memastikan akses pendidikan dapat dipertingkatkan di empat buah kampung di daerah Hulu Perak iaitu Kampung Sungai Chueh, Kampung Sungai Tebang, Kampung Charok Bus, dan Kampung Sungai Chiong.
Sekolah terapung yang dilengkapi dengan fasiliti untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP) ini dapat membantu menangani isu keciciran dalam kalangan murid Orang Asli yang berada di kawasan pedalaman.
KPM sentiasa berusaha untuk meningkat akses pendidikan untuk semua murid. Hanya menerusi pendidikan kehidupan dapat diubah menjadi lebih baik.

Sementara itu, Sinar Bestari meninjau ruangan komen dan mendapati warga maya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Pendidikan kerana sanggup turun padang, meredah perjalanan jauh dan berkorban masa demi memastikan anak-anak Orang Asli di pedalaman mendapat akses pendidikan berkualiti.
Dziauddin Mat Saad: Tahniah YBM. Jalan terus dengan semangat membangunkan pendidikan anak bangsa.
Shamsuddin Din: Terbang tinggi terus YB macam gagahnya burung helang, membelah badai dan ribut, menuju destinasi. Biarlah gagak-gagak yang ada terus meracau, tidak perlu terkesan kerana itulah hakikat burung gagak hanya kuat berbunyi dan gah gempita di bawah, hasilnya hanya kepenatan yang sia-sia.

Rozeman Din: Terbaik YBM memastikan semua anak-anak Malaysia dapat sekolah seperti orang lain walaupun di mana berada dan keadaaannya.
Ringkasan AI
- Sosok tubuh ini tidak pernah gentar menghadapi cabaran dalam dunia pendidikan dan menjalankan amanah sebagai Menteri Pendidikan
- Beliau meredah perjalanan menaiki bot hampir satu jam menuju ke pedalaman Hulu Perak untuk meninjau pelaksanaan program Sekolah Terapung bagi anak-anak Orang Asli
- Program Sekolah Terapung diwujudkan untuk menangani isu keciciran pendidikan di kalangan anak-anak Orang Asli di beberapa kampung di daerah Hulu Perak
- Inisiatif ini diakui sebagai usaha penting untuk memastikan setiap anak Malaysia menerima pendidikan berkualiti tanpa kira jarak dan keadaan geografi
- Warga maya merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan untuk usaha berkorban masa dan meredah perjalanan jauh demi memastikan akses pendidikan berkualiti untuk anak-anak Orang Asli di pedalaman