
'Teringin sambung PhD tetapi nampaknya bukan sekarang' - Menteri Pendidikan
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sememangnya dikenali sebagai figura yang amat mementingkan ilmu pengetahuan dan pendidikan sepanjang hayat.
Meskipun sibuk dengan tanggungjawab sebagai pemimpin negara, beliau tetap menunjukkan minat yang mendalam terhadap pembelajaran dan pengembangan diri.
Kerana kecintaan yang mendalam terhadap ilmu, Fadhlina meluahkan hasratnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).
"Ada hasrat menyambung PhD tetapi nampaknya bukan sekarang,” demikian tulis Fadhlina di Facebooknya pada Khamis.
Hasrat murni Menteri Pendidikan itu ternyata menarik perhatian warga maya yang rata-ratanya menyuarakan sokongan penuh terhadap impian beliau untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.
Rata-rata netizen menganggap langkah tersebut sebagai satu tindakan terpuji dan inspirasi kepada semua khususnya golongan pendidik dan pelajar.
Kongsi Fadhlina, pengalaman 20 tahun menjadi peguam syarie mungkin menjadi tesis dalam kehidupannya.
"Iktibarnya apa? Bahawa sebagai orang yang sentiasa mencari ilmu pengetahuan, yang dahagakan pencerahan, sentiasa komited dengan agenda pencerdasan bangsa, maka jangan sesekali putus asa dalam menempuh kepayahan menuntut ilmu.
"Biar lelah ketika belajar dan menuntut ilmu, kerana kita tidak boleh lelah tatkala melawan kejahilan," catatnya lagi.
Terdahulu, Fadhlina meluahkan isi hati tentang makna kehadiran bulan April dalam hidupnya di Facebook peribadi.
April bagi Fadhlina cukup indah kerana hadirnya pelbagai kenangan manis yang pasti akan dikenang sampai bila-bila.
"Bulan ini adalah sangat istimewa buat saya. Kenangan diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara adalah pengalaman hidup yang bermakna.
"Rasanya saya adalah pelajar undang-undang paling lama belajar. Selesai sahaja ijazah pertama, terus disambung ijazah kedua ( syariah).
"Ketika sedang menjalani latihan dalam kamar, saya menyambung Diploma Pentadbiran dan Kehakiman Islam (ketika ini bercita-cita mahu menjadi Hakim Syarie, tetapi saya tidak pandai Bahasa Arab, maka terpaksa lupakan cita-cita tersebut).
"Selepas berkahwin, sepertinya tiada henti, saya menyambung pula pengajian di peringkat Sarjana Undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia. Ada hasrat menyambung PhD tetapi nampaknya bukan sekarang," luah wanita hebat ini.