
Tiada kompromi untuk pembuli: 7 pelajar MRSM ditamatkan pengajian
"Maaf saya tidak setuju untuk diberikan peluang kedua kerana sejak dari awal diamanahkan sebagai Pengerusi Mara (Majlis Amanah Rakyat), berulang kali saya ingatkan dan tegaskan bahawa prinsip saya #YouTouchYouGo.
"Tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli dan apa jua bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM (Maktab Rendah Sains Mara).
"Tidak kira anak sesiapa sekalipun, Tan Sri, Datuk hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun, jika terlibat dalam buli, tindakan tegas dan keras akan diambil. Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu. Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini."
Demikian tegas catatan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Facebooknya susulan kejadian buli membabitkan tujuh pelajar MRSM di Pulau Pinang baru-baru ini.
Difahamkan, kesemuanya telah ditamatkan pengajian berkuat kuasa serta-merta menerusi keputusan yang dibuat Jawatankuasa Disiplin MRSM.
Menurut Asyraf Wajdi, keputusan daripada Jawatankuasa Disiplin Maktab itu memaklumkan tujuh pelajar didapati terbabit iaitu dua (daripadanya) menggunakan buli fizikal manakala lima lagi bersubahat.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 32 saat yang memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil.
Kelihatan remaja berkenaan turut disebat beberapa kali dengan tali pinggang di bahagian punggung oleh si pembuli.