HomeBuletinTiada sumbangan, enam pusat tahfiz di Pasir Puteh berdepan risiko ditutup

Artikel Berkaitan

Tiada sumbangan, enam pusat tahfiz di Pasir Puteh berdepan risiko ditutup

PASIR PUTEH – Lebih 500 pelajar di enam pusat pengajian tahfiz al-Quran di kawasan Semerak di sini, berdepan risiko kehilangan tempat belajar berikutan institusi tersebut berdepan masalah dana untuk menampung perbelanjaan makan minum serta bayaran bil elektrik dan air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, dua pusat pengajian tahfiz al-Quran berkenaan terletak di Kampung Dalam Rhu, manakala masing-masing sebuah di Kampung Pak Makyong, Kampung Besar, Kuala Semerak dan Kampung Dalam Huma.

“Lebih 500 pelajar yang sebilangan besarnya terdiri daripada anak golongan asnaf di pusat-pusat itu mungkin hilang tempat belajar dalam masa yang singkat sekiranya tiada bantuan daripada mana-mana pihak.

“Saya cadangkan supaya kerajaan Persekutuan salur geran tahunan untuk membantu enam pusat pengajian itu yang semakin tenat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada pemberita selepas melawat Maahad Tahfizul Quran Al-Bukhari di Tok Bali, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Wan Hassan berharap geran bantuan itu akan dapat meringankan beban pihak pengurusan pusat terlibat untuk menampung perbelanjaan harian yang sebelum ini hanya diperoleh menerusi sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) semata-mata.

Sementara itu, Mudir Maahad Tahfizul Quran Al-Bukhari, Khahairizal Abdullah berkata, pusat tersebut membelanjakan RM300 sehari untuk perbelanjaan makan dan minum untuk keperluan 25 pelajarnya.

“Pusat tahfiz ini juga pernah tidak dapat membayar bil elektrik dan air yang tertunggak sejak tiga bulan lepas dengan jumlah RM3,500 kerana tiada sumbangan. Kami bersyukur tunggakan itu dapat dijelaskan semalam selepas menerima dana daripada pihak yang tidak dapat disebutkan namanya sebaik sahaja mendapat maklumat dalam media sosial,” katanya.

Khahairizal berkata, pihaknya meramalkan keadaan pusat itu akan bertambah tenat dalam tempoh enam bulan akan datang sekiranya tidak menerima sebarang bentuk bantuan atau dana bagi menampung perbelanjaan bulanan.

“Sebelum PKP, seramai 80 pelajar termasuk dari Terengganu dan luar negara terutama Vietnam, Indonesia dan Kemboja mengikuti pembelajaran secara percuma di pusat yang ditubuhkan sejak 1998 ini,” katanya. – BERNAMA

Artikel Terkini