Tidur singkat di siang hari resepi kejayaan pelajar cemerlang Sarawak
Tidur singkat di siang hari resepi kejayaan pelajar cemerlang Sarawak

Tidur singkat di siang hari resepi kejayaan pelajar cemerlang Sarawak

webadmin
31 Dec 2020 01:30am
A
A
A

KUCHING - Amalan tidur singkat di siang hari antara resepi kejayaan pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) negeri Sarawak, Kuan Kah Yee selain tekad untuk meraih kejayaan.

Pelajar perempuan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak, Padawan ini mendedahkan tidur sebentar di siang hari membolehkan beliau memberi tumpuan yang lebih semasa membuat ulang kaji pada malam hari kerana mendapat rehat yang cukup.

Kuan yang berasal dari Siburan di Batu 17 Jalan Kuching-Serian di sini, bersyukur dan teruja kerana terpilih bersama seorang lagi pelajar mewakili Sarawak, untuk menghadiri Anugerah Pelajar Cemerlang stpm 2018 peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau memperoleh keputusan cemerlang empat A bagi subjek Pengajian Am, Bahasa Melayu, Geografi dan Ekonomi dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

"Senior saya sering beritahu saya Tingkatan Enam sangat sukar dan banyak cabaran. Saya tidak sangka dapat melakukannya.

"Ibu bapa saya bekerja di kedai kopi, galakkan saya untuk teruskan pengajian walaupun pendapatan mereka tidak stabil,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini yang bercita-cita mahu memegang jawatan pengurus bank.

Terdahulu dalam kenyataan hari ini, Pengarah Pendidikan Sarawak Dr Azhar Ahmad berkata Kuan dan seorang lagi pelajar cemerlang,  Connie Ong Hui May dari SMK Oya di Dalat dijemput untuk menghadiri majlis penyampaian anugerah itu di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Kuan dan Ong antara 92 calon di sekolah menengah kebangsaan yang memperoleh PNGK 4.00 dalam peperiksaan stpm 2018 berbanding 51 calon di seluruh negeri itu pada 2017. - BERNAMA

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok