Penganjuran PLKN di sekolah memberi peluang kepada seluruh pelajar termasuk yang tidak dapat menyertai di lokasi tertentu.
Penganjuran PLKN di sekolah memberi peluang kepada seluruh pelajar termasuk yang tidak dapat menyertai di lokasi tertentu.

Tokoh Guru Kebangsaan cadang PLKN laksana di sekolah

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
11 Jan 2024 03:13pm

Sebelum ini, Sinar Bestari pernah melaporkan tentang Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dijangka dilaksana pada tahun 2025.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebanyak 13 kem wataniah seluruh negara bakal dijadikan lokasi bagi program terbabit.

Bagaimanapun, Tokoh Guru Kebangsaan 2016, Azizul Rahman Abdul Rahman pula memberitahu, PLKN akan datang harus dilaksanakan di peringkat sekolah sebagai langkah memastikan semua pelajar dapat menyertainya.

Ujarnya, penganjuran di peringkat sekolah memberi peluang kepada seluruh pelajar termasuk yang tidak dapat menyertai PLKN di lokasi tertentu.

“Saya mengusulkan agar program ini dilaksanakan di sekolah melibatkan pelajar Tingkatan Empat dan dijadualkan selama seminggu semasa cuti semester.

“Waktu yang ditetapkan dari pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang agar dapat memastikan penglibatan mereka sepenuhnya tanpa mengganggu pembelajaran formal,” katanya dipetik menerusi portal berita tempatan.

Mengulas lanjut, anak kelahiran Parit Sulung, Batu Pahat, Johor ini berkata, beberapa komponen boleh dimasukkan dalam struktur program di peringkat sekolah sepanjang PLKN berlangsung.

“Antaranya kawad kaki, tayangan video edukatif, modul pendidikan moral dan kewarganegaraan, aktiviti keagamaan dan multibudaya, program pemimpin muda, sejarah dan budaya, kesedaran alam sekitar, latihan nilai diri, program kemasyarakatan dan integriti.

Artikel Berkaitan:

“Dalam masa sama, penyedia program perlu menyediakan kemudahan makan, minum dan bahan kursus. Apabila program berakhir pula, peserta menerima sijil dan diraikan bersama ibu bapa,” cadang Azizul Rahman.

Akhir sekali, pelaksanaan PLKN di peringkat sekolah dijangka dapat mengurangkan kos secara signifikan berbanding diadakan secara berpusat.

“Dengan cara ini, semua pelajar berpeluang mengambil bahagian dalam pembentukan diri sebagai warganegara yang berkualiti dan berkemahiran,” jelasnya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp