Tokoh korporat Halim Saad Pro-Canselor baharu UTEM
Tokoh korporat Halim Saad Pro-Canselor baharu UTEM

Tokoh korporat Halim Saad Pro-Canselor baharu UTEM

webadmin
28 Feb 2021 05:16pm
A
A
A

Tokoh korporat Tan Sri Halim Saad dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu, berkuat kuasa 15 Januari lalu hingga 14 Januari 2024.

Menurut kenyataan UTeM, pelantikan Halim, 68, bagi menggantikan Datuk Ismail Saleh yang tamat tempoh perkhidmatan, dibuat oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Rustam selaku Canselor UTeM.

Pelantikan Halim yang merupakan bekas peneraju Kumpulan Renong dan United Engineering Malaysia (UEM) selari dengan momentum UTeM ke arah kecemerlangan pendidikan teknikal yang kreatif dan inovatif terkemuka di dunia serta Revolusi Industri 4.0, demikian menurut kenyataan itu.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dan Pentadbiran daripada Universiti Victoria, Wellington, New Zealand serta dianugerahi beberapa ijazah kehormat, antaranya Ijazah Kehormat Doktor Sains, Universiti Putra Malaysia; Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia; serta Ijazah Kehormat Doktor Perdagangan daripada Universiti Victoria.

Halim  berpengalaman luas dalam bidang korporat dan antara sumbangan besar beliau kepada negara ialah menubuhkan Kumpulan Renong/UEM yang merupakan kumpulan perniagaan terbesar dan memberi impak langsung kepada negara, termasuk melaksanakan projek lebuh raya swasta pertama dan terbesar di Asia Tenggara iaitu Lebuhraya Utara-Selatan yang disiapkan hanya dalam tempoh lima tahun berbanding sasaran tujuh tahun.

Dari aspek pendidikan pula, beliau berjaya mencipta dimensi baharu apabila menjadi pengasas dan menubuhkan Kolej Yayasan Saad (KYS) yang merupakan sekolah berasrama penuh swasta yang pertama dalam negara.

Selepas meninggalkan Kumpulan Renong atau UEM pada 2001, Halim mengasas dan memiliki sepenuhnya Kumpulan Markmore yang mempunyai pelaburan dalam bidang penerokaan minyak dan gas konsesi pengeluaran, konsesi perlombongan, minyak hiliran dan gas, tenaga boleh diperbaharui, hartanah dan pusat beli-belah. - BERNAMA

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok