UiTM tubuh CMTHub, sasar hantar wakil ke Sukan Olimpik
SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil inisiatif menubuhkan Hab Media Kreatif dan Teknologi (CMTHub) sebagai sebuah pusat dalam pembangunan e-sukan.
Naib Canselornya, Prof Dr Rodziah Mohd Janor berkata, sejajar dengan itu, pihak institusi telah meletakan sasaran untuk menghantar wakil atlet mereka ke temasya Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Beliau berkata, sewaktu mengharungi pandemik Covid-19 sebelum ini, UiTM juga melaksanakan kejohanan e-sukan dalam Karnival Sukan Mahasiswa (KARiSMA) Virtual Edition yang berlangsung selama lapan hari pada awal tahun ini.
"Fakulti Pendidikan juga terlibat dengan e-sukan dan mereka mempunyai perancangan bagi melibatkan pelajar UiTM dalam temasya berkenaan.
"Saya bersemangat apabila ada pihak yang merancang untuk melahirkan atlet e-sukan ini walaupun perjalanannya masih jauh," katanya selepas Program Santai UiTM yang berlangsung di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai sukan yang membabitkan penglibatan wanita, Roziah berkata, pihaknya berhasrat memajukan sukan bola sepak wanita di UiTM.
Ujarnya, sewaktu sesi bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad baru-baru ini, pihaknya turut menyuarakan hasrat bagi menubuhkan skuad bola sepak wanita melibatkan kakitangan UiTM Seremban yang bergiat aktif dalam sukan itu.
"Saya juga tiada halangan sekiranya Pusat Sukan UiTM Shah Alam ingin mewujudkan pasukan bola sepak wanita kerana kita mempunyai kemudahan diperlukan," jelasnya.