qs2
qs2

UKM kini dalam kalangan 9 peratus universiti terbaik dunia

Nor Azma  Muhamat Laila
10 Jun 2022 05:32pm
A
A
A

BANGI - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini berada dalam kalangan sembilan peratus universiti terbaik di dunia melalui penarafan yang dikeluarkan oleh QS World University Rankings (QSWUR) 2023 yang diumumkan semalam.

Kejayaan itu menunjukkan UKM berada di kedudukan ke-129 dunia, naik 15 anak tangga berbanding kedudukan ke-144 pada tahun lalu.

Sejak 2014, UKM telah melonjak 140 anak tangga dan sepanjang 10 tahun penilaian dibuat, universiti itu meningkat kedudukannya sebanyak tujuh kali.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan sistem dan proses yang teratur serta disusun dari segi strategi dan impaknya kepada universiti dan masyarakat.

Mohd Ekhwan.

“Tidak mungkin UKM boleh berada di aras ini jika tidak kerana kesungguhan seluruh warga universiti, semangat bekerjasama, strategi serta berfikir di luar kotak, dan paling utama implikasi kepada kemakmuran masyarakat dan pemegang taruh.

"Kerja keras yang ditunjukkan oleh seluruh warga UKM dalam memahami citra universiti watan itu telah membawa naratif berbeza kejayaan universiti dalam penarafan QS WUR 2023.

“Apa yang penting bukan ranking dan rating tetapi manifestasi daripada kejayaan UKM untuk terus melonjak ke aras lebih tinggi dan diiktiraf oleh penilaian antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kejayaan kali ini meletakkan UKM berada di kedudukan ke-3 dalam Malaysia selepas Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

QSWUR 2023 membuat penarafan berdasarkan enam indikator iaitu reputasi akademik (40 peratus), reputasi majikan (10 peratus), nisbah pelajar:pensyarah (20 peratus), nisbah sitasi:pensyarah (20 peratus), pensyarah antarabangsa (5 peratus) dan pelajar antarabangsa (5 peratus).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok