umpmou3
umpmou3

UMP dan HsMA Jerman bakal tawar program dual ijazah kejuruteraan perniagaan

Nor Azma  Muhamat Laila
17 Feb 2022 10:35am
A
A
A

Kerjasama strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Mannheim University of Applied Sciences (HsMA) bakal memperluaskan kolaboratif akademik di peringkat antarabangsa dalam menerajui pendidikan kejuruteraan Jerman (Fachhochschule) di negara ini.

Kolaboratif ini bakal memanfaatkan perkongsian kepakaran dalam bidang akademik, penyelidikan, pertukaran staf dan pelajar serta latihan industri.

Sehubungan itu, satu majlis menandatangani memorandum persetujuan (MoA) secara dalam talian telah diadakan baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP dan Dekan Fakulti Pengurusan Industri, Dr Mohd Hanafiah Ahmad manakala pihak HsMA diwakili Rektornya, Profesor Dr Astrid Hedtke-Becker dan Ketua Jabatan Fakulti Kejuruteraan dan Pengurusan, Profesor Dr Mathias Hafner.

Turut serta Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr Peter Blomeyer.

Menurut Abdul Aziz, pihak UMP dan HsMA bersetuju menawarkan program Kejuruteraan Perniagaan yang bakal ditawarkan mulai ambilan akan datang.

“Pelajar akan menerima dua ijazah apabila bergraduasi kelak iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan daripada Fakulti Pengurusan Industri (UMP) dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dan Pengurusan Antarabangsa (HsMA),” katanya.

UMP yang kini melangkah usia 20 tahun penubuhan boleh berbangga apabila mendapat kepercayaan di peringkat antarabangsa hasil kejayaan program kerjasama yang terjalin bermula dari tahun 2010 bersama dengan pihak Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan berikutnya pada tahun 2014 bersama dengan pihak Reutlingen University (HsRT).

Ujarnya lagi, UMP juga kini memfokuskan agenda pembangunan mampan (SDG) ke arah kelestarian kampus dan pendigitalan seiring dengan pembangunan masa depan.

Sementara itu, Hedtke-Becker berkata, kolaboratif ini bakal memperkukuhkan hubungan dalam meneroka peluang kerjasama yang bakal memanfaatkan kedua-dua universiti.

Dijangkakan seramai 10 pelajar UMP berpeluang mengikuti dua semester pengajian di Jerman dan begitu juga pelajar HsMA bakal mengikuti pengajian di UMP.

Dalam menerajui pendidikan kejuruteraan, UMP turut menetapkan sasaran agar semua fakulti dan jabatan di universiti ini perlu menjalinkan program antarabangsa sebagai penanda aras untuk memperkasa pembangunan akademik di universiti ini seperti dalam perancangan Pelan Strategik UMP 2021-2025.

UMP sebagai salah satu universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menawarkan program-program teknikal seperti kejuruteraan, teknologi kejuruteraan dan teknologi selain daripada program-progam yang disifatkan sebagai ‘soft technical’ seperti komputer, sains dan pengurusan industri.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok