1272398
1272398

UMP, IYRES jalin kerjasama bangunkan teknologi data raya

webadmin
22 Nov 2021 04:26pm
A
A
A

Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama strategik berkaitan pembangunan belia dan teknologi data raya negara.

Pengerusi Lembaga Pengarah IYRES, Dr Muhammad Mahadi Mohamad berkata, menerusi usaha sama itu, IYRES sebagai sebuah institusi penyelidikan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memanfaatkan data hasil kajian pembangunan belia.

Menurutnya, pihak UMP pula dapat berkongsi kepakaran khususnya dalam konteks sains data yang dapat menyumbang ke arah penyediaan data raya.

“Saya yakin IYRES berada pada landasan tepat dengan adanya Hub Data Belia ini kerana ia merupakan pusat sehenti data-data terkini dan relevan berhubung pembangunan belia.

"Hub Analitik ini merupakan salah satu inisiatif yang digerakkan dalam menghasilkan keluaran berpacukan analitik data daripada data-data yang tersedia," katanya.

Kerjasama strategik antara UMP dan IYRES itu dimeterai di Dewan Podium, Menara KBS, Putrajaya pada Khamis.

MoU itu ditandatangani Dr Muhammad Mahadi mewakili IYRES, manakala UMP diwakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP.

Dalam majlis sama, turut berlangsung 'Webinar Machine Learning & Data Science: The Future Impacts' sebagai inisiatif bersama dalam mendapatkan maklumat jelas berkaitan data sains ini.

Sementara itu, Dr Muhammad berkata, hasil analitik yang dibangunkan bersifat diagnostik dan prediktif membolehkan pemegang taruh membuat keputusan dan perancangan berkaitan pembangunan belia dengan lebih objektif dan strategik.

Ujar beliau, bagi melengkapkan inisiatif pengumpulan data untuk menyokong pelaksanaan hub analitik, gudang akan dibangunkan yang mana gerak kerja telah melibatkan pelaksanaan secara merentas kementerian atau jabatan dan agensi yang telah diimplementasikan melalui Ydata@IYRES.

Prof Yuserrie pula berkata, MoU itu juga merupakan satu bentuk kerjasama bersama untuk memenuhi tugas dan fungsi kedua-dua belah pihak.

"Ia melibatkan kerjasama dalam menjalankan inisiatif penyelidikan, analisis data, kepakaran, penerbitan, penganjuran bersama forum, siri diskusi, seminar, latihan dalam data raya dan pembangunan belia," jelasnya.

Tambah beliau, usaha sama di antara UMP dan IYRES itu amat strategik dan bertepatan dengan perkembangan semasa dalam mendepani era revolusi industri 4.0 (IR 4.0).

"Ini kerana analitik data raya merupakan satu tonggak kemajuan teknologi masa depan," tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok