Untitled (47)
Untitled (47)

Universiti tawar kursus kokurikulum BSMM, pupuk semangat sukarelawan dalam kalangan mahasiswa

Nor Azma  Muhamat Laila
23 Nov 2021 03:54pm
A
A
A

Pembabitan mahasiswa dalam pelbagai kegiatan kokurikulum di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) sudah tentunya bertujuan untuk melahirkan graduan yang holistik selain memupuk kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.

Begitu juga dengan penawaran kursus kokurikulum Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) di kebanyakan universiti awam (UA) hari ini yang bertujuan menerapkan sifat kesukarelawanan dalam diri peserta pasukan beruniform itu.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) adalah antara UA yang mula menawarkan kursus kokurikulum kepada pelajar di bawah Teras Kesukarelawanan.

Penyelaras Kokurikulum BSMM UiTM Shah Alam, Effende Zaini berkata, secara umumnya penawaran kursus berkenaan bertujuan untuk memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar UiTM dan memastikan mereka dapat menyumbang khidmat serta kemahiran yang ada untuk warga universiti serta masyarakat.

"Pelajar yang menyertai BSMM akan diajar mengenai asas pertolongan cemas seperti merawat luka, tercekik, melecur, terbakar dan bantuan pernafasan (CPR) yang bukan sahaja berguna kepada diri sendiri tetapi juga untuk orang sekeliling.

"Oleh itu, pembabitan pelajar dalam BSMM ini banyak manfaatnya kerana kursus kokurikulum berbentuk kemahiran sebegini sangat penting terutama dalam usaha memupuk sifat kepimpinan dan kerja berpasukan yang akan menjadi nilai tambah kepada graduan apabila memasuki dunia pekerjaan kelak," katanya kepada GPSBestari.

Sejak BSMM Cabang UiTM didaftarkan sebagai sebuah persatuan dalaman pada 20 Ogos 2000, pelbagai kejayaan berjaya dicipta oleh pelajarnya di mana seramai 15 orang telah berjaya menjadi jurulatih bertauliah malah ada juga yang terpilih sebagai delegasi Malaysia dalam program 6th National Volunteer Gathering 2018 yang diadakan di Jawa Barat, Indonesia.

Asas pertolongan cemas

Universiti Putra Malaysia (UPM) pula mula menawarkan kursus kokurikulum BSMM pada tahun 2006 atas dasar semangat perikemanusiaan dan untuk memberikan khidmat sukarela kepada mereka yang memerlukan.

Melalui kursus ini, pelajar dapat mempelajari kemahiran asas pertologan cemas dalam aktiviti menyelamat dan mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran asas BSMM menerusi aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan.

Pelbagai aktiviti dan khidmat komuniti yang telah dianjurkan oleh ahli BSMM UPM antaranya Kempen Derma Darah Perdana, perkhidmatan pertolongan cemas untuk agensi luar seperti pelajar, kolej, sukan universiti dan lain-lain.

Di Universiti Utara Malaysia (UUM), BSMM mula ditawar kepada pelajar ijazah pertama sejak penubuhan UUM iaitu pada tahun 1984.

BSMM UUM didaftarkan di bawah Unit ke-12 BSMM negeri Kedah dan tenaga pengajar dianggotai oleh tiga orang jurulatih yang bertauliah seperti Jurulatih Kanan dan Jurulatih.

Pelajar BSMM di UUM perlu melengkapkan empat jam kredit kursus kokurikulum selama empat semester, iaitu bersamaan satu jam kredit pada setiap semester dan ia terbuka kepada semua pelajar yang berminat.

Pelajar akan mempelajari kursus asas pertolongan cemas dan jika berjaya menamatkan empat semester pengajian serta lulus ujian yang ditetapkan, pelajar akan mendapat sijil asas pertolongan cemas.

Pegawai Kadet BSMM

Sementara itu, BSMM Cabang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula menjadi satu-satunya universiti yang menawarkan modul Latihan Pegawai Kadet BSMM kepada pelajar yang berminat bermula pada 2017.

Pengerusinya, Dr Mohd Azman Abas berkata, menerusi modul itu, pelajar yang berminat menjadi pegawai kadet perlu melalui proses temu duga dan ujian khusus serta mengikuti latihan selama tiga tahun.

"Daripada 1,500 pelajar yang menyertai BSMM, hanya 35 hingga 50 orang saja akan terpilih untuk mengikuti program kadet ini setiap pengambilan dan mereka perlu melengkapkan tujuh kursus pensijilan jurulatih BSMM.

"Pentauliahan akan diadakan di peringkat UKM menerusi program Tamat Latihan Pegawai Kadet BSMM Cabang UKM bagi membolehkan pelajar dianugerahkan kelayakan sebagai Jurulatih Bertauliah BSMM," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok