shatar
shatar

UPNM tawar laluan APEL kepada warga badan beruniform - MQA

Nor Azma  Muhamat Laila
03 Mar 2022 10:09am
A
A
A

KUALA LUMPUR: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dilantik sebagai Pusat Penilaian Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL) bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda (APEL T-6) dan Ijazah Sarjana (APEL T-7).

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pelantikan UPNM itu membuka peluang lebih besar kepada anggota badan beruniform terutama dalam kalangan tentera untuk meningkatkan kelayakan akademik.

Katanya, anggota badan beruniform digalakkan merebut peluang untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi terutama apabila UPNM yang berpotensi besar untuk menyemarakkan pengajian sepanjang hayat (PSH) dalam kalangan tentera dan badan beruniform lain.

"Pelantikan UPNM ini diharap akan menjadikan universiti itu sebagai institusi peneraju dalam menawarkan APEL kepada anggota badan beruniform.

"Ramai dalam kalangan anggota beruniform ini mempunyai banyak pengalaman, justeru boleh memanfaatkan laluan pengajian menerusi APEL ini bagi mendapatkan sijil kelayakan akademik untuk kegunaan ketika sedang berkhidmat atau sudah bersara," katanya pada Majlis Penyerahan Sijil Pusat Penilaian APEL di UPNM, di sini, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Turut hadir, Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Hasagaya Abdullah; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPNM, Profesor Datuk Ts Dr Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi.

Sementara itu, dalam ucapannya, Hasagaya berkata, menerusi Pusat Penilaian APEL, lebih 100,000 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disediakan laluan berasaskan pengalaman bagi membolehkan mereka meningkatkan tahap akademik.

Ujarnya, akses terhadap pengajian tinggi seharusnya menjadi lebih mudah dan menarik, sekali gus dapat menyemarakkan pembangunan masyarakat berilmu ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi.

"Melalui platform ini, APEL membuka peluang yang seluasnya kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi," kongsinya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok