portal-upsi
portal-upsi

UPSI tawar Azizulhasni Awang biasiswa lanjutkan pengajian

webadmin
16 Aug 2021 06:10pm
A
A
A

TANJUNG MALIM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menawarkan biasiswa dan jawatan pensyarah di Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan kepada atlet berbasikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang berikutan kejayaannya meraih pingat perak untuk negara dalam acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, UPSI menawarkan peluang melanjutkan pengajian dan jawatan pensyarah kepada Azizulhasni pada bila-bila masa sahaja sama ada selepas Sukan Olimpik Tokyo mahupun Sukan Olimpik Paris 2024.

Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff

Beliau berkata tawaran itu membolehkan beliau melanjutkan pengajian secara Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL)  iaitu menerusi laluan pengalaman secara berterusan yang membawa kepada penganugerahan sijil kelayakan formal tertinggi sekali gus memberi peluang lebih cerah dalam perkembangan kerjaya individu.

“Tawaran ini adalah sebagai tanda penghormatan terhadap kecemerlangan luar biasa Azizulhasni yang sentiasa menjadi aspirasi dan motivasi kepada lebih 32 juta rakyat Malaysia.

“Kehadiran Azizulhasni ke UPSI pastinya dapat membantu negara dalam memantapkan pembangunan sukan berbasikal trek dan menjadi inspirasi kepada mahasiswa yang bakal menjadi guru dan jurulatih sukan di sekolah-sekolah di Malaysia mahupun antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azizulhasni menghadiahkan pingat perak buat negara pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo  selepas menduduki tempat kedua perlumbaan final acara keirin di Velodrom Izu.

Untuk rekod, Azizulhasni, 33, sebelum ini pernah meraih gangsa di Olimpik Rio 2016 dalam acara sama. - BERNAMA

 

 

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok