WhatsApp Image 2021-06-18 at 4.48.01 PM
WhatsApp Image 2021-06-18 at 4.48.01 PM

Yayasan Bank Rakyat tawar pembiayaan pendidikan bernilai RM16.05 juta kepada pelajar

webadmin
18 Jun 2021 05:13pm
A
A
A

Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah membuka permohonan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) bagi tahun 2021 peringkat pertama kepada pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat sijil kemahiran, diploma kemahiran dan diploma akademik di universiti awam dan swasta di dalam negara.

Untuk tahun ini, YBR telah memperuntukkan RM16.05 juta bagi pembiayaan pendidikan untuk pelajar warganegara Malaysia berumur 18 tahun bagi lepasan SPM serta telah memperoleh surat tawaran daripada institusi pengajian tinggi awam/swasta di dalam negara.

Pelajar yang ingin memohon pembiayaan pendidikan ini perlu memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 atau Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.00 bagi peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Asasi/Matrikulasi atau setara.

Ketua Bahagian Operasi YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen YBR dalam menyokong tahap sosio ekonomi negara melalui pendidikan serta sebagai salah satu usaha dalam membantu kerajaan membantu keluarga pelajar yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang mula menular sejak awal tahun lalu.

Syaiful Rizal

Terma dan syarat bagi permohonan PPBU YBR adalah seperti berikut

1. Terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

2. Berumur 18 tahun ke atas dan menamatkan pengajian umur tidak lebih daripada 30 tahun.

3. Peringkat sijil kemahiran, sijil, diploma kemahiran, dan diploma akademik.

4. Merupakan pelajar sepenuh masa.

5. Memperoleh sekurang-kurangnya 5A di dalam SPM 2020 dan sekurang-kurangnya PNGK 3.00 bagi peringkat STPM/STAM atau keputusan peperiksaan semasa diploma.

Permohonan PPBU peringkat pertama kini dibuka sehingga 30 Julai 2021 manakala bagi peringkat kedua bermula dari 14 Ogos hingga 30 September 2021 untuk kategori Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, Profesional, dan Ph.D.

Permohonan boleh dibuat melalui laman web www.yayasanbankrakyat.com.my.

Sejak penubuhannya pada 2007, YBR telah menyediakan peruntukan pembiayaan pendidikan sehingga RM152.78 juta sebagai komitmen membantu pelajar demi memastikan mereka berupaya merealisasikan potensi sebenar.

Sehingga kini, produk pembiayaan pendidikan YBR telah memberi manfaat kepada 5,684 pelajar daripada pelbagai latar belakang dan sosioekonomi dan seramai 2,111 graduan telah menamatkan pengajian di peringkat pengajian tinggi serta membuktikan komitmen YBR dalam mengekalkan kesan jangka panjang terhadap sektor pendidikan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok