ump4
ump4

Yayasan UMP peruntukkan RM50,000 bantu mangsa banjir

Nor Azma  Muhamat Laila
31 Dec 2021 07:57pm
A
A
A

Yayasan Universiti Malaysia Pahang (UMP) memperuntukkan sebanyak RM50,000 sebagai persediaan membantu mangsa banjir yang terdiri daripada staf, pelajar UMP dan komuniti yang terkesan.

Timbalan Pengerusi Yayasan UMP, Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP berkata, menerusi peruntukkan itu, bantuan kecemasan seperti keperluan asas, barang dapur, kelengkapan selimut dan kit kebersihan akan diberikan kepada mangsa banjir.

“Sejak banjir melanda negeri Pahang, Jawatankuasa Bertindak Bencana UMP telah menyelaras dan menggerakkan usaha misi kesukarelawanan dengan menyalurkan bantuan termasuk keperluan makanan dan kelengkapan buat staf dan pelajar yang terkesan akibat banjir.

“Bilik gerakan UMP beroperasi di kedua-dua kampus bagi menyelaras pergerakan misi kesukarelawanan bukan sahaja melibatkan sukarelawan UMP malahan termasuk beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) lain dalam usaha mengkoordinasi bantuan pasca banjir sejak banjir melanda negeri ini,” katanya yang turut menyertai Program Misi Kemanusiaan Pasca Banjir di Mentakab.

Beliau turut menyampaikan sumbangan daripada Yayasan UMP kepada pelajar dan keluarga yang terjejas.

Seramai 100 sukarelawan UMP berkampung selama dua hari bagi membantu membersihkan rumah pelajar dan kejiranan di Taman Mentakab Indah yang terjejas teruk akibat bencana banjir baru-baru ini.

Program turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang sama-sama bergotong-royong membersihkan rumah pelajar di sini.

Menyedari masalah gangguan air di lokasi yang terjejas banjir, UMP turut membawa bersama sebanyak tujuh tangki air milik universiti bagi menjalankan kerja-kerja pencucian.

Penduduk mendapatkan air yang dibekalkan pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) melalui lori tangki yang ditempatkan di sini.

Dalam pada itu, pelajar yang terjejas teruk akibat banjir bakal menerima RM1,000 dan barangan keperluan daripada Yayasan UMP.

Bagi pelajar UMP yang mengikuti pengajian di Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Mohamad Hakimi Mohd Nor berkata, walaupun taman ini pernah beberapa kali dilanda banjir, namun bencana kali ini agak luar biasa.

“Paras air paling tinggi direkodkan pada Januari lepas kira-kira sejengkal daripada siling rumahnya, namun kali ini ia melebihi atap,” katanya.

Beliau amat berterima kasih atas bantuan UMP dalam meringankan beban mereka sekeluarga dengan membantu membersihkan rumah.

Sementara itu, bagi pelajar pascasiswazah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Putri Nur Farhanah Mohd Shamsuddin meluahkan rasa terharu dengan kehadiran sukarelawan UMP bagi membantu membersihkan rumahnya yang terjejas teruk akibat ditenggelami banjir.

“Dengan bantuan rakan-rakan mahasiswa UMP ini, ia mempercepatkan lagi urusan pembersihan rumah saya,” ujarnya.

Dalam masa yang sama pihak Yayasan UMP dengan kerjasama Kumpulan UMP Holdings dan Persatuan Wanita UMP (Matahari) turut mengedarkan air minuman, keperluan asas, barang dapur, makanan, kit pembersihan serta kelengkapan selimut untuk masyarakat setempat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok