piotr-cichosz-NhRk-907Ayc-unsplash
piotr-cichosz-NhRk-907Ayc-unsplash

5 inisiatif yang boleh dilakukan oleh pelajar sempena Sambutan Hari Bumi 2022

Adlan Farhan Azwan
22 Apr 2022 10:50am
A
A
A

Planet bumi adalah tempat yang menakjubkan, tetapi masih memerlukan bantuan seluruh penghuninya untuk memastikan ia selamat untuk generasi yang akan datang.

Oleh itu, pada 22 April setiap tahun, lebih daripada satu bilion orang di seluruh dunia akan menyambut Hari Bumi untuk melindungi planet ini daripada ancaman seperti pencemaran dan penebangan hutan.

Sebagai pelajar, sudah menjadi tanggungjawab untuk menjaga planet ini dengan sebaik mungkin. Pelajar perlu dilengkapi dengan ilmu pengetahuan yang betul supaya planet bumi yang menjadi ‘rumah’ kepada lebih tujuh bilion manusia lebih tenteram dan bebas daripada sebarang ancaman.

Baca juga

Universiti tempatan berjaya hasilkan mesin pembersih sampah di sungai Sabah dengan peruntukan RM100,000

Jom hafal nama planet dan susunannya dengan peranti mnemonik

Sinar Bestari ingin mengambil kesempatan ini untuk kongsikan dengan pelajar semua inisiatif mudah yang boleh dilakukan oleh anda semua bersempena dengan Sambutan Hari Bumi 2022.

1. Tanam pokok

Kredit foto: Unsplash

Para penyelidik dari seluruh dunia telah menganggarkan kira-kira 15 bilion pokok di seluruh dunia ditebang setiap tahun. Jadi, pelajar boleh menanam pokok sendiri untuk memastikan bilangan pokok di dunia masih mencukupi yang bertindak untuk menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen bagi pernafasan manusia. Pokok juga berfungsi menyediakan tempat tinggal dan makanan untuk haiwan seperti tupai dan burung hantu.

2. Tutup lampu

Kredit foto: Pexels

Tenaga elektrik tidak terjadi dengan begitu sahaja. Kebanyakan tenaga elektrik yang dihasilkan sekarang masih bergantung pada bahan seperti api fosil (arang batu atau gas asli) yang berupaya menjejaskan perubahan iklim. Namun, dengan teknologi yang semakin canggih saban hari, tenaga elektrik juga boleh dihasilkan daripada sumber yang diperbaharui seperti angin, air, dan matahari.

Bersempena dengan Sambutan Hari Bumi 2022, pelajar boleh cuba menutup lampu pada satu-satu masa sebagai antara usaha ke arah planet bumi yang lebih baik dan seterusnya melatih diri menjimatkan tenaga elektrik.

3. Hadkan penggunaan air

Kredit foto: Unsplash

Tahukah anda semua? Air yang bersih dan boleh diminum adalah sumber yang sangat terhad. Air di muka bumi yang boleh digunakan oleh manusia hanyalah kurang daripada satu peratus. Selebihnya disebabkan terlalu masin atau sukar diakses. Apa yang pelajar boleh lakukan ialah dengan mematikan paip apabila memberus gigi.

Usaha ini mampu menjimatkan sehingga 30 liter air dalam masa sehari. Di samping itu, pelajar juga boleh cuba memendekkan masa ketika mandi untuk menjimatkan penggunaan air bersih.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

4. Luangkan masa

Kredit foto: Pexels

Pelajar boleh menjadi sukarelawan untuk mengutip sampah di taman berdekatan atau mengumpul barangan untuk dikitar semula. Inisiatif yang melibatkan diri anda dengan bekerja dengan orang baharu amat digalakkan kerana di samping dapat menyelamatkan bumi, pelajar juga boleh mendapat kawan baharu.

5. Sebarkan mesej

Kredit foto: Unsplash

Berbual dengan rakan dan ahli keluarga tentang perkara yang anda lakukan dan minta bantuan daripada mereka. Pelajar juga boleh menyebarkan mesej untuk mengajak masyarakat bersama-sama dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan dengan menyelamatkan bumi sebelum terlambat menerusi laman media sosial. Kongsikan segala usaha yang dilakukan dengan rakan-rakan dalam talian.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok