IMG-20221006-WA0026
IMG-20221006-WA0026

80 murid unit beruniform jayakan perkhemahan sekolah pedalaman di Sabah

Adlan Farhan Azwan
13 Oct 2022 06:43pm
A
A
A

Seramai 80 murid unit beruniform dari Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dan Pengakap telah menyertai perkhemahan yang dianjurkan dengan kerjasama empat buah sekolah sekitar kawasan pedalaman Sabah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Golong, Beluran; SK Pinangkau, Beluran; SK Maidan, Beluran dan SK Lubang Buaya, Sipitang.

Sepanjang perkhemahan berlangsung, antara aktiviti utama yang dijalankan ialah ikhtiar hidup, kembara hutan, masakan rimba, halangan semula jadi, teknik ikatan, kawad kaki dan pemasangan khemah.

Menurut salah seorang Guru SK Golong, Cikgu Ramlee Gani, perkhemahan tahunan tersebut merupakan salah satu inti pati dalam proses pembelajaran luar bilik darjah.

Para peserta diajar tentang kemahiran ikhtiar hidup seperti memasak ala rimba.

Tambah beliau, tahun ini mereka telah menambah satu lagi aktiviti menarik dalam usaha memberi pendedahan kepada para peserta mengenai sejarah sekolah SK Golong.

“Menariknya tahun ini, para peserta perkhemahan akan dibawa menyelusuri susur galur tapak asal SK Golong menerusi aktiviti kembara hutan.

“Dengan adanya aktiviti seumpama ini, para peserta bukan sahaja mempelajari ilmu mengembara hutan tetapi mereka juga dapat mempelajari sejarah sekolah supaya mereka boleh bercerita pengalaman masing-masing kepada rakan-rakan yang lain.

“Yang pasti, objektif utama perkhemahan kali ini ialah memupuk semangat kerjasama dan meningkatkan keyakinan diri supaya dapat melahirkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial,” katanya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.

Para peserta juga didedahkan dengan teknik ikatan dengan bimbingan guru-guru

Dalam pada itu, salah seorang murid SK Golong, Dzulkhalnaena Ali Said melahirkan rasa syukur dan bangga dapat mewakili perkhemahan unit beruniform kali ini.

“Sepanjang tempoh perkhemahan, banyak yang saya pelajari antaranya ilmu ikatan kayu kecil dan kemahiran memasak ala rimba serta berpeluang untuk mengenali rakan-rakan baharu,” tambahnya.

Perkhemahan kali ini turut diserikan dengan kehadiran Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Beluran, Sektor Pembangunan Murid (Pembangunan Bakat Murid), Fazli Islam Abdullah yang merakamkan ucapan tahniah atas usaha SK Golong yang kini mempunyai tapak perkhemahan di sekolah dan sekali gus dijadikan sebagai aset penting.

“Saya mewakili Pejabat Pendidikan Daerah Beluran mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada SK Golong, SK Pinangkau, SK Maidan dan SK Lubang Buaya kerana berjaya membuktikan sekolah pedalaman juga mampu menjayakan perkhemahan seperti mana sekolah-sekolah lain,” jelas beliau.

Artikel berkaitan

5 kemahiran ikatan yang harus dipelajari peserta perkhemahan

Karnival STEM UMP terap budaya pemikiran saintifik, kreatif dan inovatif

Kejayaan pembudayaan STEM di sekolah luar bandar, Cikgu Anuthra dinobatkan pemenang Malaysia Teacher Prize 2022


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok