9 tip mudah cara Cikgu Herryan Syah. Guru hebat pun pernah guna langkah ini, menjadi!
Bagaimana Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) guru dan pelajar sekarang?
Masih mampukah cikgu-cikgu mempertahankan rekod cemerlang dengan kehadiran dan penglibatan murid atau pelajar pada tahap maksima.
Diakui, belajar menggunakan kaedah PdPR sememangnya sangat mencabar.
Tambahan pula bagi pelajar yang berhadapan dengan masalah kekangan gajet, lagi mengundang kesukaran tertentu.
Cikgu Herryan Syah Tupan Surian yang pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Taman Indahpura 1, Kulai, Johor, berkata ada beberapa tip yang boleh digunakan oleh cikgu dalam memastikan PdPR sentiasa menarik perhatian pelajar.
“Ada sembilan tip mudah yang boleh cikgu guna dan teknik ini, ramai guru hebat kita telah amalkan. Memang menjadi,” katanya.
Jom ikuti bersama GPSBestari tentang tip mudah Cikgu Herryan Syah yang kini merupakan seorang Pegawai School Improvement Specialist Coach (Sisc+), Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, Johor.
Penerangan dan perkongsian itu dimuat naik menerusi blog mudahmengajar.com, baru-baru ini.
1) Tanya khabar murid
Sentiasa bertanyakan perkembangan murid. Hal ini tidak terbatas sekadar kesihatan murid, cikgu juga boleh bertanyakan tentang apa sarapan murid, jam berapa murid tidur malam sebelumnya, apa rancangan aktiviti di waktu petang nanti.
Hal ini menjadikan guru seperti seorang yang mudah didekati dan amat prihatin. Jika murid mengadu mengantuk, boleh beri panduan untuk tidak mengantuk semasa kelas.
Apapun, sesi PdPR menjadi lebih mesra dan menyeronokkan. 'Sense of humour' juga dapat membangkitkan suasana. Jangan lupa selitkan doa atau kata-kata motivasi untuk murid sebelum mulakan kelas.
Baca juga ‘Bos aku ni tidak pernah bagi arahan tapi ayatnya “Minta tolong ya cikgu-cikgu, kita pakat buat no”
Baca juga 9 cara terbaik melajukan Windows 10
2) Bincang dan putuskan bersama dengan murid
Berikan murid peluang untuk memilih aktiviti yang mereka suka. Dengan itu, peratus penglibatan pastinya jauh lebih baik.
Guru hanya perlu rangka pengisian aktiviti sahaja. Ada murid suka kuiz Kahoot, kadang-kadang hendak tengok video. Di sinilah kepakaran dan kemahiran cikgu dalam menyesuaikan input dengan aktiviti yang dapat memberikan impak maksima kepada pembelajaran murid.
Maklum balas setiap kali tamat sesi PdPR membantu guru merancang PdPR seterusnya dengan lebih berkualiti.
3) Beri ganjaran dalaman dan luaran
Seperti biasa, cikgu akan menberi ucapan 'tahniah', 'bagus', 'cemerlang' kepada murid yang menunjukkan prestasi baik semasa PdPR dalam talian mahupun luar talian.
Memberi peluang kepada murid menunjukkan hasil tugasan mereka yang membanggakan itu atau menerangkan hasil kerja juga boleh menjadi satu penghargaan kepada pelajar.
Ikuti juga kami di:
Instagram:https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter:https://twitter.com/GPSBestari
Youtube:https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/
Murid yang memberi maklum balas, menjawab mahupun beri kerjasama dengan baik boleh diberikan ganjaran maujud jenis 'one-off' atau terkumpul.
Ada beberapa aplikasi untuk mengumpulkan markah seperti Classdojo. Setelah pelajar mencapai markah tertentu, boleh berikan hadiah maujud seperti penanda buku, sticker dan bermacam-macam lagi.
Ada guru yang berikan terus ganjaran-ganjaran tersebut melalui pos. Ada yang akan berikan semasa jumpa bersemuka nanti.
Bagaimanapun, pastikan pelajar dimaklumkan bakal menerima hadiah tersebut sementara menunggu ruang bersemuka nanti.
4) Pelbagaikan bentuk penilaian
Ketika belajar, mereka juga mahu menguji kemampuan diri. Oleh sebab terdapat banyak kekangan semasa PKP ini, guru boleh pelbagaikan bentuk tugasan.
Bagi murid yang dapat sertai sesi dalam talian, mereka boleh terus uji secara lisan. Boleh juga terus tulis di kertas dan tunjukkan terus semasa kelas 'live'.
Bagi murid yang tidak dapat sertai sesi 'live' boleh teruskan dengan memberi gambar dan murid jawab kemudian hantar di dalam kumpulan Whatsapp, Telegram, Google Classroom dan sebagainya.
5) Tunjuk analisis kehadiran
Adalah penting untuk murid tahu penglibatan mereka. Guru perlu merekodkan semua kehadiran pelajar dan siap atau tidak siap tugasan mereka.
Analisis ini boleh ditunjukkan secara berkala kepada murid. Dan guru boleh buat ulasan akan penglibatan anak-anak didik lebih-lebih lagi jika ada peningkatan yang boleh cikgu puji.
Dengan ini murid tahu prestasi mereka. Malah cikgu juga akan dapat mengesan masalah yang berlaku dengan lebih baik. Cikgu boleh simpan data dan buat pentaksiran bilik darjah.
Fokuskan kepada hal-hal yang baik semasa menunjukkan analisis atau membuat penerangan kepada murid.
6) Ikuti perkembangan media sosial
Apabila murid banyak menghabiskan masa di rumah, pastinya mereka akan lebih aktif di media sosial. Oleh itu, guru perlu lebih aktif di media sosial.
Tidak semestinya cikgu membina bahan di media sosial tetapi boleh juga menjadi pengikut murid kita. Lihat apa yang mereka kongsikan dan boleh beri pujian dan mencari kebaikan dalam menyerlahkan bakat masing-masing.
Murid perlu rasa selesa dan selamat dengan kehadiran guru. Tidak kisah sama ada Facebook, TikTok, Twitter atau Instagram, sekalipun Twitch atau Discord.
7) Filem
Kelas 'live' untuk tempoh yang lama, murid boleh menjadi bosan. Boleh integrasikan bahan pembelajaran dengan cerita filem atau video pendek.
Murid sanggup duduk lama dengan menonton video berbanding melihat paparan buku teks atau pembentangan slaid guru.
8) Cikgu hari ini!
Bagi merancakkan dan menyeronokkan suasana, cikgu boleh berikan kuasa kepada mana-mana murid berbakat untuk jadi cikgu semasa sesi kelas 'live'.
Hal ini dapat menunjukkan kepada murid bahawa mereka juga berhak menentukan corak pembelajaran.
Bergantung kepada kesediaan dan kekuatan pelajar, pelajar boleh mengetuai sesi PdPR ini daripada semudah berkongsi hasil tugasan mereka yang lepas dan buat penerangan dengan panduan daripada guru sehinggalah kepada murid menyediakan bahan pembentangan untuk sesi tersebut.
Cara ini tidak jauh berbeza dengan konsep pembelajaran berasaskan projek dan juga pembelajaran berasaskan inkuiri.
9) Pertandingan
Paling ditunggu-tunggu murid ialah pertandingan. Murid suka untuk bersaing, sama konsep dengan kenapa mereka suka dengan permainan video dalam talian. Jadi sesi PdPR cikgu boleh akhiri dengan kuiz. Murid lebih teruja dan sentiasa melihat pencapaian mereka.
Menerusi perkongsian tip ini, saya berharap sedikit sebanyak dapat membantu semua cikgu.
Semoga berjaya.