ping pong
ping pong

Aktif bersukan pilihan Nur Umairah

Mariatul Qatiah Zakaria
11 Aug 2021 12:24pm
A
A
A

Penglibatannya di dalam bidang sukan bukanlah paksaan daripada sesiapa namun disebabkan minat yang mendalam selain ingin kekal gaya hidup sihat, Nur Umairah Nor Hisham, 17, bergiat aktif dalam empat bidang sukan.

Semua sukan yang diceburinya pada awalnya sekadar memenuhi masa lapang tetapi siapa sangka, anak ketiga daripada empat adik beradik ini berjaya mewakili sehingga ke peringkat kebangsaan.

Sememangnya bercita-cita ingin mewakili negara ke peringkat antarabangsa, pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) ini memberitahu, dia mula aktif dalam bidang sukan sejak berusia 10 tahun.

Nur Umairah bersama cikgu Engku Nazarudin, salah seorang cikgu yang menyokong penglibatannya di dalam bidang sukan.

Bermula dengan merentas desa, Nur Umairah kemudiannya berjinak pula dengan sukan ping pong, olahraga (800 meter, 1,500 kilometer dan 3 kilometer) dan bola jaring.

Sehingga ke hari ini, Nur Umairah masih lagi aktif dalam keempat-empat sukan tersebut.

“Kami sekeluarga aktif dalam bidang sukan malah ibu dan ayah merupakan pemain bola jaring.

“Tidak dinafikan, merekalah (ibu bapa) idola kami dan pastinya penyokong kuat untuk saya dan adik beradik yang lain.

“InsyaALLAH kami akan teruskan perjuangan sehingga ke peringkat tertinggi,” ujarnya kepada GPSBestari.

Tambah Umairah, selain berkat dorongan dan sokongan ibu bapanya, guru-guru dan jurulatih adalah individu yang bertanggungjawab menjadikannya atlet yang berjaya hari ini.

Begitupun, bagi Nur Umairah, setiap kejayaan pastinya memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh.

Pencapaian

Berbual lanjut mengenai pembabitannya dalam kesemua sukan tersebut, Nur Umairah menjelaskan, ia bermula apabila ayahnya sendiri yang ‘mengesan’ bakatnya dalam sukan merentas desa, berlari jarak jauh.

Bagi sukan bola jaring pula, Nur Umairah boleh dikatakan mewarisi bakat kedua orang tuanya yang aktif bermain bola jaring dan juga olahraga.

Namun begitu, apabila ditanya sukan yang mana satukah menjadi kegemarannya, anak kelahiran Tampin, Negeri Sembilan ini memilih merentas desa.

Ini kerana selain meminati sukan yang memerlukan stamina yang tinggi, Nur Umairah berkata, merentas desa ‘memperkenalkannya’ kepada dunia sukan.

Ping pong antara empat sukan yang menjadi pilihan Nur Umairah.

Latihan

Bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini, Nur Umairah berkata, dia ingin berjaya di dalam kedua-dua bidang, akademik dan sukan.

Menjelaskan sepanjang pandemik Covid-19, kelas diadakan secara dalam talian, dia menggunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin.

Nur Umairah akan memulakan harinya dengan mengulangkaji pelajaran dan menghadiri kelas secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Kemudiannya, dia akan memperuntukkan masa selama dua jam pada sebelah petang untuk sesi latihan.

“Setiap hari tanpa gagal saya akan pastikan berlari selama 20 minit untuk mengekalkan stamina.

“Ini kerana kebanyakan sukan yang saya sertai memerlukan stamina yang tinggi.

“Selalunya latihan akan dilakukan pada sebelah petang kerana pagi dan malam saya memperuntukkan untuk belajar,” tuturnya lanjut.

Tambah Nur Umairah, sebelum Covid-19 melanda, jadual latihannya disusun setiap hari iaitu Isnin hingga Jumaat di sebelah petang manakala Sabtu dan Ahad awal pagi.

Mensasarkan 8A untuk peperiksaan SPM kelak, Nur Umairah ingin menyambung pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana dia juga bercita-cita hendak menjadi seorang tentera.

Idola

Nur Umairah turut menjadikan Shalin Zulkifli dan Nicol David sebagai idolanya untuk terus aktif dalam bidang sukan.

Jelas Nur Umairah, Shalin dan Nicol merupakan atlet tempatan yang aktif dalam sukan pada usia muda dan berjaya di peringkat antarabangsa.

Pada masa yang sama, Nur Umairah turut menjadikan atlet antarabangsa, Allyson Felix sebagai idolanya dalam sukan olahraga.

Ingin menjadikan sukan sebagai karier sepenuh masa, Nur Umairah memberitahu tidak mustahil dia turut menjejaki langkah idola-idolanya itu.

“Ramai atlet negara yang boleh dicontohi hari ini malah kejayaan mereka mampu membawa nama negara ke peta dunia.

“Jadi rasanya tidak menjadi masalah sekiranya saya mengikuti jejak langkah mereka dan menjadikan sukan sebagai kerjaya tetap.

“Insya-ALLAH sekiranya dipermudahkan saya akan terus aktif di dalam bidang ini (sukan) dan menabur bakti selagi diperlukan,” katanya sebelum mengakhiri bicara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok