6 tip buat pemancing udang galah
Ramai yang beranggapan tujuan memancing hanyalah sekadar untuk memperoleh hasil hidupan air.
Namun hari ini, ramai di antara mereka menjadikan aktiviti memancing sebagai riadah masa lapang.
Aktiviti memancing sememangnya terkenal sebagai salah satu hobi popular dalam kalangan lelaki dewasa dan lazimnya ia dilakukan di laut, sungai atau tasik.
Ia bergantung kepada individu mengikut minat, keperluan dan kesesuaian hasil tangkapan.
Bagi pemancing udang galah, Ahmad Fuad Mohd Zain, 26, memancing udang galah dan ikan sama sahaja dan tiada peralatan khusus yang diperlukan, tetapi apa yang membezakan kedua-duanya adalah pemancing perlu tahu mengenai udang galah dan lubuk yang sesuai untuk memancing.
Ahmad Fuad berkata, memancing udang adalah sebahagian daripada hobi yang diminatinya sejak berumur 16 tahun dan bukanlah mata pencarian utama buatnya kerana dia merupakan seorang usahawan kuih lompat tikam dan juga bekerja sebagai juruacara di majlis-majlis keramaian.
“Kalau ada rezeki dan dapat udang banyak, saya jualnya kepada rakan-rakan, tetapi tidak semua hari kita bernasib baik,” katanya kepada Sinar Bestari ketika ditemui di Teluk Intan semasa Lawatan Ekspresi Cuti-Cuti Malaysia Getaway To Perak, Tourism Malaysia baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ahmad Fuad yang berpengalaman dalam bidang memancing sejak 10 tahun yang lalu sempat berkongsi tip yang diperlukan untuk memancing udang galah atau dikenali sebagai jenggo.
1) Sabar
Seperti mana dengan semua aktiviti memancing, sifat sabar perlu ditanam dalam diri. Tidak dinafikan apabila umpan tidak dimakan, ia benar-benar menguji kesabaran. Bersabar ketika memancing juga mendekatkan diri anda dengan alam dan seterusnya dapat berasa tenang sehingga mengurangkan tekanan.
2) Hadkan pergerakan di atas bot
Memancing menggunakan bot terbukti boleh mendapat hasil yang lebih banyak. Dengan menggunakan bot, pemancing dapat meneroka lubuk yang lebih berpotensi dan mempunyai udang galah yang banyak dan besar.
Dinasihatkan untuk mengehadkan pergerakan ketika berada di dalam bot atas faktor keselamatan. Di samping itu, tali joran juga dapat dilihat dengan jelas jika umpan dimakan oleh udang.
3) Pemilihan tempat memancing
Di sungai, udang galah mudah untuk dipancing di celah ranting-ranting kayu yang merupakan tempat kegemaran spesies ini kerana ia gemar mengikut arus dan pusaran air untuk mencari makanan.
Lokasi seperti di celahan akar-akar pokok, batang pokok nipah dan lubuk yang air berpusar perlahan merupakan tempat terbaik untuk memancing spesies yang enak dimakan ini. Amat penting untuk pemancing ketahui habitat hidupan air ini sebelum memulakan aktiviti memancing.
4) Kesesuaian umpan
Tanpa umpan, tidak lengkap aktiviti memancing. Pemilihan umpan yang bersesuaian amat penting.
Kebiasaannya, sesiapa yang ingin memancing udang galah akan menggunakan umpan cacing tanah sama ada jenis yang lembik atau merah, anak udang, umpun-umpun dan hati ayam yang dihiris kecil. Bagi individu yang baru berjinak dalam aktiviti memancing, disarankan menggunakan umpan anak udang kerana kosnya yang murah dan senang untuk dipasang pada mata kail.
5) Suhu air
Pemancing yang ingin memancing spesies udang galah ini perlulah mengetahui suhu air terlebih dahulu kerana perubahan suhu air mempengaruhi tahap keaktifan udang galah memakan umpan.
Suhu air yang sejuk akan membuatkan udang galah kurang memakan umpan dan keadaan ini akan membuatkan udang galah lebih suka berpindah ke tempat-tempat yang lebih panas.
6) Paras air
Kecenderungan untuk udang galah memakan umpan bergantung juga kepada paras air sungai. Agak sukar untuk udang memakan umpan sewaktu air pasang penuh kerana ia gemar berada di bawah celah-celah kayu dan di bawah akar nipah di tebing sungai. Jika air mula surut, itu adalah waktu yang sesuai untuk memancing udang galah kerana kebiasaannya ia keluar untuk mencari makan di tengah-tengah sungai.
Secara amnya, musim panas atau permulaan kemarau adalah waktu yang terbaik bagi memancing udang galah.
Artikel berkaitan
Mahasiswa kaki pancing, pilih hobi memancing sebagai rekreasi santai
Dua murid dari Pahang hebat memburu pelbagai spesies udang
Kaki pancing tegar! Muhammad Zafri tunjuk kehebatan tangkap udang