Untitled design (2)
Untitled design (2)

"Cikgu Farazi, kalau saya sakit atau berlaku apa-apa, cikgu mesti datang melawat tau, janji"

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
10 Nov 2021 12:48pm

“Ainul Mardhiah, tenanglah di sana. Moga ALLAH SWT tempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan soleh.

“Kami pasti akan sentiasa merindui celoteh dan gelak tawa kamu,” kata Cikgu Farazi kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Berkongsi cerita tentang arwah Ainul Mardhiah, dalam nada sebak, Cikgu Farazi berkata, pemergian pelajarnya itu disifatkan sebagai kehilangan sebutir bintang yang amat berharga.

“Dia adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Bunga, Pulau Pinang, yang cukup sempurna di mata semua orang.

“Suka tersenyum, ringan tulang dan sentiasa membuat orang lain gembira dengan gelak tawanya. Tapi sekarang…,” Cikgu Farazi gagal menghabiskan ceritanya.

Atas dasar kasih sayang seorang guru terhadap pelajarnya, Cikgu Farazi berkongsi kisah Ainul Mardhiah menerusi hantaran di Facebook.

Kisah yang menyentuh hati itu pastinya akan menjadi kenangan terindah buat Cikgu Farazi sampai bila-bila.

Seperti yang dipetik dalam tulisan beliau...

“Ainul...coretan biasa ini cikgu abadikan di Facebook cikgu, agar setiap tahun ia akan jadi memori kenangan kita belajar dan mengajar”

Ikuti perjalanan Ainul Mardhiah sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir, 5 November 2021.

*****

Langkah kaki aku masuk ke rumahnya lemah seolah tidak berpijak…

“Ainul Madhiah, cikgu tunai janji cikgu untuk tetap berjumpa Ainul walau apa pun terjadi, sekarang cikgu tunaikan,”…suara sebak berkumandang dihadapan susuk tubuh berwajah tenang tidak bernyawa seperti lena tidurnya tanpa gangguan dan aku nampak senyumannya.

Suara aku sebak, air mata jantan aku mengalir, ego lelaki aku jatuh dihadapan ibunya, saudaranya dan orang ramai yang berziarah tanpa mampu ditahan.

Aku suarakan segala luahan dari hati aku sebagai guru di hadapan ibu arwah serta penziarah-penziarah yang lain.

Aku beritahu penuh sebak Ainul langsung tiada dosa dengan kami malah kami bangga memiliki pelajar sepertinya.

Cikgu Farazi

*****

Sekitar pukul 6 pagi tadi, aku menerima panggilan telefon dari ibu Ainul Mardhiah, pelajar sekolah aku mengatakan anaknya sedang tenat.

Ainul hampir dua minggu lebih ditidurkan kerana penyakit yang aku sendiri pun sukar untuk menyebutnya. Tapi sebelum ini Ainul pernah terkena jangkitan Covid-19. Mungkin itulah punca antibodinya semakin lemah dan kuman mula menyerang paru-paru dan buah pinggangnya.

Sebelum ini, ketika Ainul mengadu sakit bila batuk dan sebagainya, aku segera hubungi Penolong Kanan 1, meminta pendapat dan segera kami hubungi KKM untuk membawa Ainul ke hospital.

Ketika Ainul di hospital, abangnya sentiasa memberi info terkini keadaan Ainul pada aku untuk aku hebahkan kepada semua guru yang merindui kelibatnya.

*****

Ketika peringkat awal Ainul dikuarantin, aku sentiasa berwhatapps bertanya khabar dengannya.

Kadang-kadang aku suruh dia pakai elok-elok sebab aku nak bervideo call dengannya.

Rutin aku di sekolah dan luar sekolah bila dengar mana-mana pelajar sakit, aku akan bertanya keadaan dan melawat. Tapi apalah daya aku ketika musim PKP Covid-19 dan hidup dengan SOP, maka aku gantikan dengan video call.

Sambil berbual aku selitkan sesuatu yang lucu sebab aku hendak bagi Ainul ketawa. Tetapi tiga minggu terakhir ini, Ainul semakin teruk hingga terpaksa beberapa kali ditidurkan. Aku dan Cikgu Mohd Zulfadli Jusoh berikhtiar dengan membuat bacaan Yasin secara dalam talian bersama warga sekolah agar urusan Ainul dipermudahkan.

Pagi tadi, lepas beberapa minit ibunya hubungi aku, kali ini abangnya pula hubungi aku sekitar jam 6.40 memberitahu Ainul pergi untuk selamanya. Jantung aku berdegup kencang seolah tidak mampu terima kenyataan ini.

*****

Kenapa Ainul begitu istimewa di mata aku?

Allahyarhamah Ainul adalah seorang pelajar yang sangat sopan santun, lembut gaya bahasa dan sangat menjaga auratnya.

Bayangkanlah aku tidak perlu tegur dia banyak benda sebab pakaian longgar tudung dibalut sempurna seterusnya menaikkan seri wajahnya. Tadi kawan-kawannya termasuk yang lelaki turut mengalir air mata mengiringi pemergian insan hebat ini.

Ainul ini boleh digambarkan persis pelajar sekolah rendah zaman 90-an, pelajar yang penuh adab, menghulur bantuan tanpa ditanya, meminta izin untuk sesuatu perkara dan sangat kuat mentalnya bila dimarah dan ditegur. Pasti mak ayahnya bangga ada anak seperti Ainul.

Andai kata ada Anugerah Pelajar Paling Beradab dan memiliki budi pekerti yang hebat, pastinya nama Ainul akan aku calonkan kerana aku bangga ada pelajar sebaik Ainul Mardhiah.

*****

Hari lahir dan Hari Guru

Dia antara yang ingat tarikh lahir aku dan murnikan dalam ucapan di Whatapps, kadang-kadang aku buat tak layan walaupun hati aku berbunga juga bila pelajar hantar ucapan.

Tiba Hari Guru dia akan ucap secara live dicorong telefon pintarnya. Kadang-kadangku usik Ainul…

"Asyik wish sahaja, bagilah hadiah kereta Wish sebiji”

"Eleh kalau saya tidak wish pasti cikgu rindu nanti"

Aku balas

“Takdenye Ainul hang jangan berharap, hang tau cikgu hang macam manakan?

Kini benar, aku pasti rindu ucapannya itu. Sebak!

*****

Kali terakhir aku berhubung dengannya, dia berkata pada aku

“Cikgu Farazi, kalau saya sakit ke apa ke berlaku, cikgu mesti melawat saya tau”

Aku jawab

“Insya-ALLAH yang penting Ainul mesti cepat sihat”

“Tak mahu, cikgu janji dulu”

“Ya cikgu janji”

Hari ini aku tunaikan janji aku didepan susuk tubuh berwajah tenang.

*****

Ainul pernah tanya aku di sekolah,

"Cikgu macam mana kita nak tinggalkan sesuatu untuk sekolah supaya orang ingat?

Aku kata pada Ainul

“Hang buatlah baik Ainul, tapi jangan cerita kebaikan kita pada orang, biarlah nama kita sentiasa meniti dibibir setiap kali mereka bercerita. Itulah orang hebat”

“Ya! Hari ini terbukti segala kebaikan Ainul semua guru, kawan-kawan dan masyarakat ceritakan.

Aku tak tahu kenapa Ainul rapat dengan aku dan aku boleh rapat dengan dia, sebab Ainul ini pelajar pandai, selalunya aku lebih banyak fokus dengan pelajar nakal atau hardcore untuk aku bentuk sesuai dengan amanah diberi pada aku sebagai Ketua Guru Disiplin.

Terngiang-ngiang ayatnya pada aku…

“Cikgu kalau mengamuk macam harimau mengaum, satu sekolah dengar"

Dia juga pernah cerita yang dia agak down untuk PT3 tahun 2019.

Aku kata padanya…

"Hang tahu tak nama hang Ainul Mardhiah tu satu nama besar, hang kena kuat, sekuat adik Ainul yang buat pembedahan buang ketumbuhan di mulut tu, nama hang Ainul antara nama yang dah ada di syurga, macam lagu UNIC tu”

Ya, dia memang kuat. Sakit yang menimpanya ditanggung sekuat tenaga. Bayangkan ketika sakit dia masih lagi ikut PdPR katanya dia nak buat terbaik untuk SPM. Allahu, hebatnya anak ini.

Namun kini Ainul Mardhiah telah tiada, yang ada hanya namanya yang pasti takkan lepas dari mulutku bercerita sebagai contoh kepada pelajar-pelajar lain dan juga anakku Mawar.

Ainul coretan biasa ini cikgu abadikan di Facebook cikgu, agar setiap tahun ia akan jadi memori kenangan kita belajar dan mengajar.

Jika semangat cikgu jatuh, pasti nama Ainul Mardhiah akan menyemarakkan kembali semangat cikgu. Pergi di hari Jumaat mulia, cuaca redup, wajahmu cukup tenang.

Berehatlah Ainul. Syurga tempatmu, tariklah cikgu sekali nanti ke syurga. Cikgu puas hati sebab cikgu dan tunaikan janji cikgu pada hang Ainul, cikgu sedih tapi cikgu reda. Kami sebagai manusia sayangkan Ainul, tapi mana mampu kami lawan sayangnya ALLAH padamu Ainul.

Salam takziah kepada keluarga arwah Ainul Mardhiah. Kami di Sinar Bestari mendoakan arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman.

Sumber: Facebook Cikgu Farazi Razak

Artikel berkaitan 

“Sahabatku Hussain, pemergianmu sungguh dicemburui”

Enggan kecewa sekali lagi, Izz Khalisa bangkit dan akhirnya muncul pelajar cemerlang SPM 2021

Coretan ‘budak kampung’ yang kini menjadi Menteri Kanan Pendidikan, undang sebak warga maya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp