Kerancuan bahasa gugat bahasa Melayu
Kerancuan bahasa gugat bahasa Melayu

Kerancuan bahasa gugat bahasa Melayu

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
05 May 2021 02:49am

Ramai anak muda khususnya bakal pendidik di Institut Pendidikan Guru (IPG) bimbang terhadap isu kerancuan bahasa yang seolah-olah tiada jalan penyelesaian dan kekal menjadi perdebatan dalam kalangan pakar bahasa dan cendekiawan sejak sekian lama.

Kerancuan mengikut Kamus Dewan Edisi Kempat adalah penggunaan bahasa yang mengelirukan dan mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa asing.

Faktor ini dilihat berpunca daripada sikap mengetepikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, selain sikap tidak yakin bahasa Melayu adalah bahasa ilmu.

Kerancuan bahasa turut dilihat dalam penggunaan bahasa rojak khususnya mencampuradukkan  bahasa Melayu dan Inggeris yang semakin membarah dalam pembudayaan bahasa harian malahan hingga terbawa-bawa ke dalam mesyuarat, menyampaikan ucapan ataupun pada sidang media.

Antara bahasa rojak dikesan adalah ‘Ini off the record, pastikan jangan tulis atau sebarkan’; `Kenapa siarkan awal press statement I sedangkan itu embargo?’; `Baru nak belajar memandu di highway dah racing berlagak macam Michael Schumacher’; `Melawak style bertengkar sampai boxing’; `Esok ada mesyuarat. Please puncture’; `Malam ini ada meeting committee, jangan pula tak hadir’ dan ` Tak jadi discussion malam ni, maybe esok’.

Keadaan ini memberikan isyarat bahawa masyarakat kita kurang rasa cinta dan tidak megah menuturkan bahasa Melayu sepenuhnya dalam perbualan atau dalam program-program rasmi.

Apabila berada di platform terbuka yang melibatkan pelajar di institusi lain dan juga orang awam, kompetensi berbahasa dengan baik adalah penting bagi menjaga nama baik diri, institusi dan Kementerian Pendidikan itu sendiri.

Pendekatan komunikatif melibatkan aktiviti berkomunikasi amat menitikberatkan faktor kognitif dan sosiobudaya yang mempengaruhi kecekapan berbahasa seseorang siswa guru.

Isu berkenaan diutarakan pada majlis Diskusi Budaya dan Bahasa Antara IPG Kampus Ilmu Khas dengan IPG Kampus Pendidikan Islam yang mengupas Isu dan Cabaran Masa Depan Kebudayaan Nasional menggunakan aplikasi Google Meet, baru-baru ini.

Diskusi itu memberi peluang siswa guru menzahirkan idea bernas dengan keterampilan berbahasa yang baik ketika berbicara dalam program yang disiarkan secara langsung di platform terbuka.

Dalam konteks itu, aspek sosiolinguistik dan linguistik perlu diaplikasikan oleh mereka sebagai bahasa perhubungan sesama ahli masyarakat di samping menonjolkan keterampilan berbahasa yang baik dan boleh dicontohi.

Melihat kejayaan program itu, kedua-dua kampus IPG terbabit bercadang untuk meluaskan radar interaksi kuliah dengan beberapa lagi institusi pendidikan, malah bercadang mengembangkannya sehingga ke peringkat antarabangsa menggunakan platform bahasa Melayu.

Ini tidak mustahil dapat dilaksanakan kerana bahasa Melayu sudah tersebar luas ke seluruh pelosok dunia dengan tertubuhnya Kursi Pengajian Melayu Wilayah Eropah di Universiti Leiden, Belanda; Universiti Ohio, Amerika Syarikat; Universiti Victoria Wellington, New Zealand; Beijing Foreign Studies University (BFSU), Beijing dan Universiti Hankuk, Korea Selatan.

Selain itu, bahasa Melayu juga dipelajari secara meluas di Universiti Youngsan dan Universiti Busan, Korea Selatan; Universiti Deakin, Melbourne, Australia; Institut Negara-negara Asia dan Afrika, Universiti Negara Moscow Lomonosow serta Universiti Negara St Petersburg di Russia.

Begitu juga pelajar Malaysia yang belajar di universiti serata dunia khususnya di Eropah, Amerika Syarikat, Kanada, Mesir, Arab Saudi dan sebagainya boleh menyertai diskusi budaya berkenaan.

Kita juga akan melibatkan pelajar institusi yang menyertai Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) yang dilaporkan melebihi 50 institusi termasuk Universiti of Western Australia dan Uzbekistan State University of World Languages.

Justeru, penggunaan bahasa Melayu secara standard perlu dipertahankan kerana ia mencerminkan ketamadunan bangsa dan negara.

- Norani Abd Rahim merupakan Pensyarah Cemerlang Gred Khas C, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas/ Munsyi Muda Bahasa, Jabatan Perkhidmatan Awam

 

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp