Penjagaan suara kalangan guru-guru, ini tip penting yang perlu dititikberatkan
Suara merupakan kunci utama yang diperlukan dalam profesion perguruan di seluruh dunia.
Hal ini disebabkan suara sangat diperlukan dalam sesi pembelajaran di dalam kelas, memberi arahan, mengekalkan disiplin dan memberi sokongan kepada pelajar-pelajar di dalam kelas atau di sekolah.
Persekitaran sekolah yang bising serta tahap pengetahuan dalam penggunaan dan penjagaan suara yang rendah menjadikan profesion perguruan adalah profesion yang berisiko tinggi mengalami masalah suara.
Apa itu masalah suara?
Suara dikatakan bermasalah apabila kualiti suara dari aspek kelangsingan suara dan kekuatan suara berubah dari suara kebiasaan sebelum ini. Suara dikategorikan bermasalah apabila penutur melaporkan ketidakselesaan atau sakit ketika menyanyi atau bercakap (ASHA, 2004).
Roy, Merrill, Thibeault, Parsa, Gray, Smith, (2004), mendefinisikan masalah suara apabila suara tidak dapat berfungsi, atau suara yang keluar adalah suara yang tidak sepatutnya dan seterusnya mengganggu komunikasi individu tersebut.
Walaubagaimanapun, definisi suara normal dan suara tidak normal adalah bergantung kepada orientasi seseorang dalam membuat penilaian masalah suara individu lain.
Masalah suara sering dilaporkan dalam kalangan guru berbanding profesion lain. Masalah suara ini banyak mengganggu guru-guru perempuan berbanding guru-guru lelaki.
Mereka melaporkan bahawa mereka sering menghadapi masalah suara sewaktu menjalani karier sebagai guru (Kooijman et al., 2007) dan 52% pelajar-pelajar perguruan mempunyai masalah suara ketika tahun akademik (Miller & Sloane, 2002).
Kenapa guru sering menghadapi masalah suara?
1) Penggunaan suara yang berlebihan
2) Kurang masa pemulihan suara
3) Terdedah dengan habuk dan persekitaran berdebu
4) Keperluan menggunakan suara yang kuat sewaktu mengajar
5) Persekitaran kelas yang kurang akustikal
6) Persekitaran bising di dalam dan di luar kelas
7) Kekurangan latihan penggunaan suara yang betul
8) Tekanan/ penat/ kurang rehat
9) Kegagalan mengenalpasti simptom-simptom penyalahgunaan suara
10) Kekurangan ilmu/pengetahuan atau kesedaran penggunaan serta penjagaan suara
11) Ketiadaan pencegahan penjagaan suara
Simptom-simptom awal kepenatan suara
1) Kerap penat bila banyak bercakap
2) Sakit tekak yang kerap seperti rasa perit dan tidak selesa
3) Rasa tekanan atau sempit pada bahagian tekak apabila bercakap
Simptom-simptom kepenatan suara
1) Suara serak/ pecah/ kasar/ garau
2) Perlu bekerja keras untuk menghasilkan suara (effortful voice)
3) Rasa tidak selesa bila bercakap
4) Pengurangan julat kelangsingan dan fleksibiliti suara
5) Sukar melontarkan suara kuat
6) Sukar mengawal kualiti suara
7) Simptom bertambah apabila kerap bercakap dalam sehari/ seminggu
8) Suara kembali baik apabila mendapat rehat yang panjang
Apabila kepenatan suara berlaku dengan peningkatan frekuensi suara, ini akan menyebabkan seseorang individu mula memaksa otot-otot di sekitar leher bekerja dengan lebih keras bagi memaksa menghasilkan getaran pada pita suara untuk memastikan suara yang dihasilkan adalah jelas.
Keadaan yang berterusan akan menyebabkan berlakunya masalah suara yang lebih teruk di kalangan guru-guru.
Bagaimana menjaga suara?
1) Bercakap dengan menggunakan postur badan dan sokongan pernafasan yang betul
2) Buat latihan memanaskan suara sebelum sesi mengajar bermula
3) Jangan bercakap dalam persekitaran yang bising. Bercakap dengan pelajar apabila kelas kembali senyap
4) Kurangkan menjerit di dalam kelas. Dapatkan perhatian pelajar-pelajar di dalam kelas dengan membunyikan loceng, menepuk tangan atau menepuk meja sebelum memberi arahan
5) Suara sering berkait rapat dengan emosi. Tekanan/kemurungan boleh mempengaruhi kualiti suara
6) Pengambilan air yang kerap. Sekurang-kurangnya 6-8 gelas sehari/ 2 liter sehari. Digalakkan minum sewaktu sesi mengajar kerana guru terdedah dengan habuk di dalam kelas
7) Tidak merokok atau minum minuman keras
8) Guru perlu bergerak ke tengah kelas ketika mengajar agar pelajar di bahagian belakang dapat mendengar suara guru tanpa perlu menjerit kuat.
9) Bercakap dengan jelas menggunakan kadar pertuturan yang perlahan agar arahan tidak perlu diulangi
10) Jika suara serak, jangan berbisik.
11) Jika suara serak, kurangkan bercakap atau menyanyi. Rehatkan suara sekurang-kurangnya 15 minit di antara sesi mengajar.
12) Gunakan alat bantuan suara (voice amplifier).
13) Jika suara serak berterusan sila dapatkan nasihat doktor/ Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) yang bertauliah
Sumber: Portal MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia
Artikel berkaitan
Panduan membeli buku latihan anak, Cikgu Hakim kongsi tip mudah
Belajar melalui YouTube, pelajar penyiaran dari Sabah mampu bertutur lima bahasa utama dunia
Jadikan kelas sentiasa ceria, ini 9 ciri yang wajib guru ada. Pasti berkesan!
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok