Risau dengan berat badan anak, doktor perubatan ajar cara pengiraan BMI yang betul.
Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan (KPM) telah melaksanakan Program Standard Pengukuran Indeks Jisim Badan (BMI) untuk Murid Sekolah Malaysia Berumur Lima hingga Sembilan Tahun dikenali sebagai BMI 5-9T.
Program BMI 5-9T oleh KPM bertujuan menangani isu obesiti dalam kalangan murid sekolah seawal umur lima tahun.
Program ini juga untuk memberi kesedaran kepada murid tentang kepentingan mempunyai komposisi badan yang ideal dan melakukan aktiviti kecergasan secara tekal serta mengamalkan pemakanan sihat untuk kesejahteraan diri.
Sehubungan dengan itu, GPSBestari tertarik dengan perkongsian di laman Facebook oleh doktor perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, tentang pengiraan BMI bagi kanak-kanak yang perlu diketahui oleh ibu bapa di luar sana.
Baca juga Tak mahu jumpa doktor gigi! Ini cara mudah menangani rasa takut dalam kalangan murid
Baca juga Lepasan SPM berminat menjadi doktor? Mohon hadam perkongsian ini dahulu!
Ikuti perkongsian tersebut di bawah.
**
Hari ini para cikgu kongsikan satu surat pekeliling arahan membuat pengukuran Indeks Jisim Badan (BMI) untuk murid 5-9 tahun apabila sekolah bermula minggu depan.
Saya (sebagai doktor) rasa, elok ibu bapa juga ambil peranan untuk periksa dan pantau BMI anak masing-masing. Ukuran BMI adalah salah satu cara untuk mengetahui sama ada berat badan anak-anak adalah normal atau tidak.
Seperti yang kita tahu, berat badan yang kurang atau berlebihan boleh menjadi tanda masalah kesihatan. Oleh itu, pemantauan BMI boleh ibu bapa adalah salah satu cara untuk pantau kesihatan anak-anak.
Berat badan sahaja tidak boleh digunakan untuk menentukan normal atau tidak, kerana berat badan juga dipengaruhi oleh ketinggian. Oleh itu, rumus (formula) BMI mengambil kira ketinggian.
Bagi mengira BMI kita perlukan:
1. Ketinggian (dalam unit meter)
2. Berat badan (dalam unit kilogram)
Formulanya:
BMI = Berat / (Ketinggian)²
Bagi mengetahui sama ada BMI anak anda normal atau tidak, ia perlu dibandingkan dengan carta pertumbuhan kanak mengikut jantina dan umur. Carta dikepilkan di bawah.
Caranya:
1. Pilih carta mengikut jantina anak
2. Plotkan titik pertemuan BMI anak dan umurnya
3. Lihat titik pertemuan itu di zon berwarna apa
putih = normal
kuning = berat berlebihan
hijau = obesiti
merah = kurang berat
Tak faham? Jangan risau. Sekarang ada kalkulator dan pembanding BMI. Pergi sahaja ke link saya beri di bawah ni, pilih metrik(metric), masukan umur, jantina, tinggi dan berat. Tekan butang "calculate"
Anak-anak yang mempunyai berat badan tidak normal perlu diberi perhatian. Selain menjalankan program diet seimbang dan aktiviti fizikal, mereka digalakkan disaring oleh petugas kesihatan.
Kanak-kanak yang mempunyai lebihan berat badan berisiko menghidap penyakit seperti kencing manis, serangan asma, darah tinggi, masalah sendi, sindrom metabolik, masalah haid, dll.
Manakala kanak-kanak yang mempunyai berat yang kurang berisiko mempunyai penyakit seperti sindrom metabolik, masalah haid, anemia(kurang darah merah), masalah tulang, dll.
Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/
Masalah-masalah kesihatan ini dapat dikurangkan jika pemantauan dan usaha pengawalan berat badan dibuat secara berterusan oleh ibubapa, dan dibantu oleh para cikgu.
Saya tekankan sekali lagi, ia tanggungjawab ibu bapa untuk pantau dan kawal BMI melalui diet dan aktiviti mereka. Para cikgu dan petugas kesihatan hanya boleh bantu sahaja.
Semoga bermanfaat!