51B8077B-5677-4BB0-B41F-A7E6A0D286B2
51B8077B-5677-4BB0-B41F-A7E6A0D286B2

Tangani isu obesiti murid, ujian BMI 5-9T berkuat kuasa 21 Mac

Rasyidah ZulkifiRasyidah Zulkifi
08 Mar 2022 03:55pm

Obesiti bukanlah isu kegemukan untuk orang dewasa sahaja, malah, murid sekolah rendah juga ada yang menghadapinya.

Ia perlu dibendung supaya mereka terhindar daripada risiko penyakit lebih serius.

Baca juga

Risau dengan berat badan anak, doktor perubatan ajar cara pengiraan BMI yang betul.

10 sebab mengapa kanak-kanak Jepun adalah yang paling sihat di dunia? Ibu bapa perlu ambil tahu!

Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 9 Tahun 2021 telah meluluskan program Standard Pengukuran Indeks Jisim Badan untuk Murid Sekolah Malaysia Berumur Lima hingga Sembilan Tahun (BMI 5-9T) yang akan berkuat kuasa bagi kalendar akademik sesi 2022/2023 bermula 21 Mac ini.

Usaha tersebut dibuat bertujuan untuk menangani masalah obesiti dalam kalangan murid prasekolah, Tahun Satu, Tahun Dua dan Tahun Tiga (Tahap I) meliputi sekolah kerajaan, swasta (termasuk tadika) dan agensi kerajaan.

Ia akan dilakukan sebanyak dua kali setahun iaitu ujian pertama (1 Jun hingga 30 Jun) pada bulan ketiga sesi persekolahan bermula, manakala, ujian kedua (1 November hingga 30 November) diadakan lima bulan selepas ujian pertama.

Program berkenaan dilihat mampu memberi kesedaran kepada murid sekolah rendah agar mereka mengekalkan BMI yang ideal, menjaga pemakanan yang sihat dan melakukan aktiviti kecergasan secara konsisten.

Selain itu, ujian BMI 5-9T juga WAJIB bagi semua murid berkeperluan khas (MBK) termasuk Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Pengecualian hanyalah kepada MBK yang memerlukan sokongan maksimum sehingga menyebabkan keterhadan pergerakan dan sebagainya.

Pelaksanaan ujian bagi murid prasekolah adalah ketika waktu subjek Pendidikan Jasmani berlangsung sementara bagi murid Tahap I pula, BMI 5-9T dibuat sewaktu Pembelajaran Bersepadu dan Aktiviti Luar.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Data-data pengukuran tinggi murid, berat badan dan intervensi aktiviti fizikal hendaklah direkodkan secara manual dan melalui sistem dalam talian.

SPI ini juga disertakan sekali dengan buku panduan pelaksanaan ujian BMI 5-9T boleh dimuat turun dalam format Portable Document File (PDF) di pautan http://www.moe.gov.my/.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp