HomeGen ZCikgu Komathy makin selesa dengan bidang inovasi

Artikel Berkaitan

Cikgu Komathy makin selesa dengan bidang inovasi

Sudah 14 tahun Cikgu Komathy Veerasinghan, 38, bergelar pendidik. Dalam tempoh tersebut, beliau bukan sahaja menjadi guru akademik bagi subjek Kimia, tetapi turut aktif dalam bidang inovasi sehingga namanya dikenali di peringkat antarabangsa.

Merupakan Guru Cemerlang Kimia, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Ave Maria Convent, Ipoh, Perak, Cikgu Komathy berkata, dunia inovasi bagaikan ‘nyawa’nya. Jika tidak membangunkan produk, hidupnya terasa kosong.

Berkata kepada GPSBestari, Cikgu Komathy memberitahu, guru yang dianugerahi bakat menghasilkan produk inovasi, perlu teruskan minat sehingga mencapai kepuasan.

“Membangunkan inovasi bukan untuk suka-suka sebaliknya ia menjadikan seseorang guru itu dinamik, berdaya tahan, inovatif dan kreatif.

“Malah, ia juga mampu meningkatkan ilmu pengetahuan serta profesionalisme diri dan menjadikan pelajar lebih aktif, kreatif serta motivatif dalam proses pembelajaran menerusi produk yang kita bangunkan,” kata anak kelahiran Ipoh, Perak ini.

Cikgu Komathy Veerasinghan.

Merupakan lulusan Sarjana Pendidikan Kimia daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kini sedang mengikuti PhD dalam Pendidikan Kimia di universiti yang sama, Cikgu Komathy berkata, ada dua inovasi terbaik yang ingin dikongsi beliau bersama pembaca.

Inovasi tersebut ialah Chem-Ester Kit: Chem-Ester Kit 2.0 (produk PdPC Kimia) dan Biomass Activated Carbon (BAC) for Toxic Dyes Removal: Towards a Sustainable environment (produk aplikasi ilmu Kimia dalam penyelesaian masalah).

“Chem-Ester Kit: Chem-Ester Kit 2.0 merupakan modul bimbingan berbentuk kad permainan. Ia mempunyai langkah demi langkah yang direka bentuk untuk meningkatkan tahap penguasaan pelajar terhadap penulisan formula molekul, struktur, penamaan bagi sebatian alkana, alkena, alkuna, alkohol, asid karboksilik serta ester.

“Manakala Biomass Activated Carbon (BAC) for Toxic Dyes Removal: Towards a Sustainable environment pula inovasi yang bertujuan mengembangkan karbon aktif biomas daripada tiga sisa pertanian iaitu serabut tebu, sekam kelapa dan kulit pisang untuk menghilangkan pewarna beracun daripada air yang tercemar,” jelas anak sulung daripada empat beradik ini.

Cabaran dan risiko

Sambungnya lagi, kedua-dua inovasinya itu memfokuskan kepada kecemerlangan para pelajar.

“Bagi Chem-Ester Kit: Chem-Ester Kit 2.0, penghasilannya bertujuan mengatasi masalah pembelajaran dihadapi oleh pelajar dalam mempelajari konsep kimia yang abstrak, membawa sesuatu yang konkrit ke kelas Kimia supaya memudahkan pemahaman pelajar mengenai konsep atau teori yang dipelajari.

“Saya fokuskan kepada inovasi yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC) Kimia di dalam mahupun di luar bandar dengan kos yang sangat efisien.

“Bagi inovasi kedua pula, saya fokuskan kepada konsep go green & environmental friendly iaitu produk yang menyumbang kepada penyelesaian masalah harian. Inovasi ini lebih kepada penyelidikan dilakukan di makmal,” tuturnya.

Pasukan inovasi SMK Buntong, Ipoh merangkul pingat emas dalam Pameran Inovasi Saintis Muda Antarabangsa (IYSIE) 2019.

Dalam membangunkan inovasi, bohonglah jika tiada cabaran dan risiko yang perlu dihadapi.

Bagi Cikgu Komathy sendiri, banyak cabaran yang dilaluinya, antaranya kekangan masa dan kos penghasilan.

“Tidak kurang juga apabila sesetengah inovasi yang perlu melalui beberapa ujian untuk mendapatkan data sahih bagi membuktikan keberkesanannya.

“Perlu meyakinkan ibu bapa dan pihak sekolah bagi mendapatkan kebenaran penyertaan dan pembiayaan kos inovasi juga adalah antara cabaran besar.

“Tidak terkecuali apabila ada beberapa analisis eksperimen yang memerlukan kolaboratif di peringkat universiti yang menyukarkan saya kerana tidak mempunyai ramai kenalan. Kadang-kadang termenung juga bila memikirkan semua ini,” ujarnya.

Sementara itu, di sebalik kejayaan Cikgu Komathy, sudah pasti ada individu yang sentiasa memberi sokongan.

Mereka ialah Veerasinghan Rasiah Kandiah (bapa), Rajathy Marimuthu (ibu), Matthewpillay (suami) dan anak-anak, Collin Noel Pillay, 12, Aaron Joel pillay, 9, dan Shannon Adora Pillay, 7.

“Ya, saya mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada mereka. Bila hampir putus asa, merekalah yang banyak menyedarkan bahawa saya harus teruskan perjuangan dan jangan menoleh ke belakang lagi,” katanya.

Cikgu Komathy terpilih menerima pelbagai anugerah melalui inovasi yang dihasilkan.

Jelasnya lagi, Collin Noel dan Aaron Joel, masing-masing bersekolah di Sekolah Kebangsaan ST Michael Ipoh, turut mempunyai bakat dalam membangunkan inovasi dan setakat ini telah memenangi beberapa anugerah dan pengiktirafan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Penghasilan inovasi ini satu aktiviti keluarga dan ia mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

“Kami berasa seronok dan gembira dengan penglibatan diri dan penghasilan inovasi. Setiap kejayaan yang diperoleh akan diraikan bersama,” ujarnya.

Berkongsi perancangan akan datang, Cikgu Komathy mahu menghasilkan lebih banyak produk inovasi dalam PdPC Kimia dan meningkatkan bilangan pelajar yang terlibat dalam inovasi di sekolahnya.

“Saya ingin menyumbang jasa dan bakti bagi melahirkan murid dengan kemahiran alaf baharu seperti keupayaan berfikir secara bijaksana, menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi dalam dunia yang berdaya saing tinggi serta bersifat global ini,” akhirinya.

Senarai Anugerah dan Pencapaian Cikgu Komathy

Anugerah
1. Anugerah Teknologi Hijau 2021
2. Anugerah Saintifik Mesra Alam (A-Sma) 2021
3. Anugerah Pencapaian Wanita India: Institusi dan Pendidik Cemerlang 2021
4. Wanita Inspirasi Global 2021
5. Guru Sekolah Menengah Cemerlang – Anugerah & Sidang Kemuncak Peneraju Pendidikan Dunia 2021.
6. Anugerah Guru Inovatif (tempat kedua kategori Individu Sekolah Menengah) 2020

Platinum
1. Pameran Kemuncak Reka Bentuk dan Inovasi Antarabangsa (Inside 2020): Bac For Removal of Dye
2. Pameran Kemuncak Reka Bentuk dan Inovasi Antarabangsa (Inside 2019): Chem-Ester Kit

Pingat Emas
1. Anugerah Persembahan Poster Terbaik, Persidangan Antarabangsa Saintis Muda 2021: Biofuel
2. Pameran Inovasi Saintis Muda Malaysia 2021 (Mysie2021) (Sains Persekitaran): Biofuel
3. Penemuan, Inovasi dan Pameran Penyelidikan Antarabangsa (I-Rie2021): Biofuel
4. Pameran Kemuncak Reka Bentuk dan Inovasi Antarabangsa (Inside 2020): Bac-Bio Enzyme Powder Untuk Penyingkiran Minyak
5. Pameran Kemuncak Reka Bentuk dan Inovasi Antarabangsa (Inside 2020): Bio-Plastik Biomass
6. Pertandingan Inovasi Maya 2020 (Vic 2020): Bio-Plastik Biomass
7. Pameran Inovasi Saintis Muda Malaysia 2020 (Mysie2020) (Sains Persekitaran): Bio-Plastik Biomass

Artikel Terkini