UPM hasilkan inovasi alat navigasi bantu pesakit demensia
Penyelidik dari Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina, Universiti Putra Malaysia (UPM), Ts Dr Rosalam Che Me telah menghasilkan alat navigasi sebagai satu inovasi khusus untuk warga emas yang menghidap demensia.
Perkakas tersebut dilengkapi dengan teknologi rangsangan haptik yang menyediakan isyarat bergerak paling mudah iaitu ke kiri, kanan dan hadapan tanpa memerlukan arahan visual.
Menurut Rosalam, peranti itu dilengkapi dengan siri motor getaran mini dalam bentuk gelombang (waveform) supaya boleh dipakai seperti tali pinggang.
Tambahnya, isyarat haptik bentuk gelombang itu bertujuan untuk menghasilkan rangsangan seperti ditolak yang mendorong pengguna mengambil arah yang betul.
“Isyarat bunyi dalam bentuk arahan suara ditambah ke dalam sistem ini untuk menambah kecekapan reka bentuk keseluruhan peranti. Sebagai contoh, belok kanan, belok kiri dan bergerak ke hadapan.
“Sistem peranti ini dilengkapi dengan aplikasi mudah alih bersepadu yang bertujuan untuk memantau pengguna apabila peranti sedang digunakan.
“Aplikasi tersebut membolehkan aktiviti dan tempat pengguna lawati direkodkan ke dalam sistem yang akan dapat meningkatkan kebebasan mereka serta pada masa sama mengadaptasi amalan norma baharu ketika fasa endemik,” jelasnya.
Ujarnya, ciri-ciri peranti yang mudah adalah penting untuk mengelakkan kekeliruan kepada pengguna semasa mencari jalan terutamanya bagi warga emas yang mengalami gangguan kognitif seperti demensia.
Aplikasi mudah alih ini juga direka untuk tujuan pemantauan dan penyeliaan oleh penjaga atau ahli terapi menerusi paparan visual dalam bentuk video dan imej menerusi kamera yang dipasang pada peranti.
Penggunaan aplikasi ini dapat meningkatkan kebebasan dan pada masa sama meningkatkan keyakinan terhadap penjaga untuk membenarkan pengguna menggunakan peranti ini tanpa pengawasan.
Artikel berkaitan
Penyelidik UPM hasilkan bekas makanan biodegradasi berasaskan sabut kelapa, optimum sisa pertanian
Semarakkan budaya inovasi dan kreativiti UKM tidak terkecuali
Pensyarah hasilkan inovasi aiskrim misai kucing rendah kalori
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok