no image

5 tip pemula selam skuba

Rasyidah Zulkifi
03 Aug 2022 09:11am
A
A
A

Selam skuba antara sukan ekstrem yang semakin mendapat tempat di hati pencinta hidupan laut hari ini dan ia boleh diceburi masyarakat seawal umur sembilan tahun.

Bagaimanapun bagi mereka yang masih lagi di bangku sekolah, mereka disarankan agar diawasi ibu bapa dan juga mereka yang terlatih serta berpengalaman untuk mengelakkan

perkara yang tidak diingini berlaku.

Bagi kanak-kanak yang berumur antara lapan hingga 10 tahun, sekiranya mereka ingin mendalami sukan selam skuba, mereka akan bermula dengan program bubblemaker.

Menurut jurulatih selam skuba bertauliah, Helmi Daud, 43, program bubblemaker adalah kursus pengenalan selam skuba yang memberi pendedahan kepada peserta cilik cara bernafas, menyelam dan prosedur operasi standard (SOP) di dalam air yang cetek.

Tambah beliau, kebiasaannya kanak-kanak ini akan dilatih di kolam renang dengan kedalaman air sehingga 2 meter.

'Tight' pakaian jenis bergetah yang nipis dan sesuai untuk kanak-kanak yang baru 'berjinak-jinak' dengan sukan selam skuba.

“Di peringkat (bubblemaker) awal ini, kanak-kanak akan dilatih sama ada di air laut ataupun kolam renang tetapi selalunya banyak di kolam renang.

“Kemudian sekiranya mereka ingin menyambung kursus ke peringkat seterusnya iaitu junior open water, kanak-kanak ini perlu menunggu sehingga umur mereka 10 tahun.

“Jika ingin meneruskan ke peringkat yang lebih tinggi iaitu open water diver, mereka perlu menunggu sehingga berumur 15 tahun kerana kedalaman air bagi setiap peringkat adalah berbeza,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Ulas beliau lagi, syarat utama untuk mereka menceburi selam skuba ialah tahu asas berenang.

Ini kerana selain memudahkan proses beradaptasi dengan air laut mereka juga sekurang-kurangnya dapat melakukan pergerakan renang di dalam laut seperti kicking dan mengimbangkan badan.

“Kalau setakat mempelajari asas selam skuba, mereka tidak perlu berenang melainkan jika ingin melakukan misi menyelamat, ini yang memerlukan penyelam untuk berenang.

“Saya sendiri sebagai jurulatih tidak membenarkan penyelam menggunakan tangan ketika skuba di dalam laut.

“Dalam air kita tidak perlu berenang, cuma perlu kicking untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain,” ujarnya.

Sambungnya, selain kicking, bagi penyelam yang berkemahiran akan menggunakan teknik bergerak ke kiri dan ke kanan untuk meneroka laut dalam.

Sehubungan dengan itu, Helmi turut kongsikan lima tip dengan pembaca yang ingin berjinak dalam riadah marin ini.

**

Jom kita lihat!

  1. Pakai tight renang atau wetsuit

Aktiviti selam skuba ini tidak ada menetapkan peraturan yang ketat mengenai pakaian asalkan bersesuaian dengan keadaan di dalam laut. Umumnya, terdapat dua pakaian bagi penyelam skuba iaitu tight renang atau wetsuit. Tight merupakan pakaian jenis bergetah yang nipis dan mengikut bentuk badan penyelam, sementara wetsuit pula adalah untuk penyelam yang tidak tahan sejuk dan menggigil ketika berada di dalam air. Kebiasaannya suhu dalam air laut itu antara 28 hingga 29 darjah Celsius.

2. Kedalaman laut untuk pemula

Tidak semua penyelam mempunyai lesen dan kebiasaannya golongan ini akan menyertai pakej Discovery Scuba Diving (DSD). Ini dinamakan sebagai percubaan selam skuba yang dilakukan di kolam sahaja dengan kedalaman maksimum 5 meter, namun jika dilakukan di laut kedalamannya terhad kepada 9 meter.

3. Teknik bernafas

Ini yang membezakan seorang perenang dan penyelam. Perenang lazimnya akan bernafas menggunakan hidung kerana mereka berada di permukaan air sahaja. Manakala, penyelam pula bernafas menggunakan bekalan oksigen daripada tangki skuba. Untuk peringkat permulaan, mereka akan diajar cara bernafas dengan selesa menggunakan snorkel selama satu hingga tiga minit. Kemudian, aktiviti selam skuba dilakukan dan tangki oksigen dibawa sekali ketika menyelam ke dasar laut.

4. Kecergasan

Masalah yang sering dihadapi penyelam skuba ialah kekejangan ketika berada dalam laut kerana isu kecergasan. Seseorang yang ingin melakukan riadah lasak ini perlu mengamalkan gaya hidup sihat seperti mempunyai tidur yang cukup, melakukan senaman kardio dan angkat berat untuk memastikan otot kaki kuat. Ini penting bagi memastikan kaki tidak kejang ketika kicking dan berada dalam air.

5. Kuarantin di darat

Maklumat ini penting bagi penyelam yang melakukan aktiviti skuba melebihi kedalaman 9 meter. Mereka perlu mengelakkan diri daripada terus menaiki kapal terbang atau berada di tempat yang tinggi. Apa yang mesti dilakukan adalah berehat selama lapan hingga 12 jam yang dipanggil sebagai surface interval di daratan. Jika melanggar peraturan ini, maka penyelam akan mengalami kesan sampingan seperti muntah, kekejangan, pening kepala dan pitam kerana dalam badan masih mengandungi nitrogen yang tinggi.

Artikel berkaitan

5 tip untuk menjadi pelajar yang berjaya 

5 tip belajar Sejarah dengan berkesan 

5 tip permulaan bagi pelajar yang memilih dunia jahitan atau bidang fesyen sebagai kerjaya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan