ustazah rosiyah
ustazah rosiyah

6 cara menguasai bacaan bahasa Arab

Rasyidah Zulkifi
11 Oct 2022 05:52pm
A
A
A

Ramai dalam kalangan generasi muda hari ini ingin mempelajari bahasa asing dan ia adalah perkara yang menarik tetapi bukan mudah.

Ia bukan sahaja menuntut kemahiran tetapi juga perlu diamalkan dan pastinya mereka yang fasih lebih daripada satu atau dua bahasa mengagumkan ramai.

Selain bahasa Korea dan Jepun, bahasa Arab menjadi pilihan ramai untuk dijadikan bahasa ketiga.

Di peringkat sekolah rendah, bahasa Arab bukan sahaja diajar kepada murid beragama Islam malah ia turut ditawarkan kepada semua murid.

Menurut Guru Bahasa Arab, Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman, Sungai Buloh, Selangor, Rosiyah Hakim, 43, sekiranya murid masih belum menguasai huruf jawi agak sukar untuk mereka membaca dalam bahasa asing ini.

“Golongan muda hari ini sudah tidak ada minat untuk mempelajari bahasa yang dianggap agak sukar untuk dikuasai.

“Kita kini berada di zaman di mana anak-anak dan gajet umpama belangkas, jadi manfaatkan kecanggihan media sekarang untuk mengajar mereka bahasa Arab.

“Dalam hal ini guru memainkan peranan penting bagi menarik minat anak murid untuk mencintai bahasa al-Quran ini menerusi tayangan video dan menyediakan bahan mengajar yang menarik,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Sambungnya, sejak di bangku sekolah murid-murid mesti didedahkan dengan subjek berkenaan secara berperingkat.

“Terapkan agar mereka menguasai dan memahami maksud kalimah atau perkataan yang terdapat dalam buku teks.

“Sebagai contoh, murid-murid Tahun Satu diajar untuk mengenal, menyebut dan menulis huruf dengan betul.

“Di akhir topik pembelajaran, mereka akan dapat membaca dua ayat pendek, seperti sobahal khoir (selamat pagi) dan sobahan nur (selamat petang),” ujarnya.

Rosiyah berharap golongan pelajar hari ini menjadikan bahasa Arab sebagai medium pertuturan dalam kehidupan seharian.

Sehubungan itu, beliau berkongsi enam cara menguasai bacaan bahasa Arab kepada pembaca-pembaca Sinar Bestari pada minggu ini.

**

  1. MINAT

    IA merupakan elemen penting dalam mempelajari bahasa Arab dengan cepat dan pantas. Sekiranya tidak mempunyai minat agak sukar untuk menguasai bahasa tersebut. Sebagaimana yang kita ketahui, dalam ibadah seperti solat dan zikir semua bacaan adalah bahasa Arab, tetapi berapa ramai yang memahami maksud bacaan tersebut. Untuk murid-murid boleh dimulakan dengan teknik kartun, kamus bergambar dan amalan sehari satu kosa kata untuk dihafal. Aktiviti ini sedikit sebanyak dapat memupuk minat murid untuk mempelajari bahasa Arab.

  2. BERGURU

    SYARAT penting untuk menuntut ilmu ialah berguru. Belajar tanpa guru boleh ‘sesat’. Begitu juga apabila ingin mempelajari bahasa Arab di mana kita perlu berguru dengan mereka yang pakar dalam bidang tersebut kerana banyak perkara yang menuntut penerangan dan contoh-contoh. Murid-murid juga boleh menambah pengetahuan dengan kelas tambahan di luar waktu sekolah.

  3. BACAAN DARI KANAN KE KIRI

    BERBEZA daripada tulisan rumi, bahasa Arab dan tulisan jawi ditulis dari kanan ke kiri. Di peringkat sekolah, pembekal membekalkan buku rampaian dan buku tulis untuk subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Arab bermula dari sebelah kanan ke kiri.

  4. PENGGUNAAN KAD IMBAS

    PENGGUNAAN medium ini antara cara yang dilaksanakan dalam pembelajaran bahasa Arab. Contohnya, penggunaan kad imbas bergambar yang mengandungi kosa kata. Secara tidak langsung murid tidak akan cepat bosan untuk belajar. Hasil pembelajaran menggunakan kad imbas juga sangat efektif dalam membantu meningkatkan penguasaan murid.

  5. TEKNIK KARTUN

    MEMANDANGKAN hari ini murid-murid memiliki gajet masing-masing, ia memudahkan mereka untuk meneroka informasi berkenaan dengan subjek Bahasa Arab. Guru juga boleh menarik minat murid mempelajarinya dengan menonton kartun Arab sambil membimbing mereka. Lakaran gambar kartun mewakili perkataan juga boleh dijadikan aktiviti.

  6. RUJUK KAMUS

    BAHASA Arab dan penggunaan kamus tidak dapat dipisahkan. Ia merupakan bahan rujukan utama ketika proses mempelajari bahasa asing ini. Untuk permulaan murid-murid perlu ada kamus poket. Jadikan kamus sebagai ‘teman’ maksudnya sentiasa baca dan hafal perkataan di dalam kamus tersebut sehingga boleh mengingati. Kemudian, boleh gunakan kamus lain seperti kamus ‘at-tulab’ juga sebagai rujukan, di samping guru juga perlu membimbing murid menggunakan kamus itu.

Artikel berkaitan 

6 tip menjadi akauntan bertauliah

6 tip pembuatan kostum yang selesa

6 cara mudah kawal murid dalam kelas


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan