pexels-hebert-santos-5485597
pexels-hebert-santos-5485597

8 adab berdoa untuk pelajar amalkan sebelum ujian atau peperiksaan berlangsung

Roshlawaty Md Raieh
20 May 2022 01:53pm
A
A
A

Doa adalah kunci utama dalam meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Ini diakui sendiri pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Seremban, Negeri Sembilan, Huzaifah Omar yang memperoleh 10 A+ dan 1A dalam peperiksaan tersebut.

Seperti dipetik dalam sebuah portal tempatan baru-baru ini, Huzaifah berkata, rahsia cemerlang kejayaannya adalah doa yang berterusan kepada ALLAH sejak di Tingkatan Empat.

“Doa yang tidak henti-henti saya panjatkan kepada ALLAH sebelum SPM. Saya sering berdoa apabila melakukan sesuatu kebaikan. Antara doanya... ‘Ya ALLAH, balaslah amal solehku ini dengan tercapainya sasaranku untuk mendapat 11A+’.

“Saya juga sentiasa menunaikan solat berjemaah di masjid dan memperbanyakkan tilawah al-Quran. Kerana dengan membaca al-Quran, kita sebenarnya akan melatih kemampuan kognitif untuk sentiasa peka dengan baris, huruf dan tajwid,” ujarnya.

Sebagai membantu pelajar meraih keputusan cemerlang seperti Huzaifah, Sinar Bestari kongsikan lapan adab berdoa untuk pelajar amalkan sebelum menduduki peperiksaan.

Insya-ALLAH, dengan memahami cara berdoa dengan betul, adik-adik mampu mendapat keputusan diimpikan.

Artikel berkaitan 

Pasukan penyelidik UUM pilih 12 pelajar sertai projek Sik Gigih. Rezeki mereka!

Catatan penuh Cikgu Mohd Nasir sepanjang Program Pertukaran Guru di Thailand. Sebuah pengalaman berharga!

Berikut adalah adab-adab berdoa:

1) Merendahkan diri dan suara (Tawaduk)

Merendahkan diri dan melafazkan suara yang sederhana serta dengan nada yang lunak semasa berdoa adalah disukai oleh ALLAH.

2) Menumpukan fikiran (Khusyuk)

Menumpukan fikiran dan memusatkan perhatian kepada sesuatu perkara yang dikerjakan dituntut oleh Islam lebih-lebih lagi semasa berdoa. Ini disebabkan makbulnya doa berkait rapat dengan sifat khusyuk seseorang.

3) Gigih dan penuh harapan

Bersungguh-sungguh bagi melakukan sesuatu pekerjaan dituntut dan punca penghasilan kejayaan yang diharapkan. Harapan yang tinggi pula adalah penggerak dan pendorong kepada terbitnya hasil kerja yang memuaskan daripada usaha pekerjaan itu.

Kesungguhan dan harapan yang tinggi sebenarnya adalah dua perkara yang berangkaian dan mempunyai saling kaitan. Oleh kerana itu, kesungguhan dan harapan mempengaruhi makbulnya doa. Berdoa dengan cara main-main, tidak membawa apa-apa kesan seperti yang diharapkan.

4) Memohon ampun kepada ALLAH

Kebersihan jiwa, makanan, minuman dan pakaian adalah mempengaruhi makbulnya sesuatu doa. Jiwa yang tidak suci, ditambah dengan makanan dan minuman yang haram adalah salah satu penyebab Tuhan tidak memakbulkan doa hambanya.

Oleh itu, sebelum berdoa, hendaklah memohon ampun kepada ALLAH SWT atas segala kesilapan yang dilakukan sebelum ini dengan cara mengucapkan istighfar kepada Tuhan apabila kita sedar bahawa niat, perasan jiwa, akal serta makan dan minum masih berada dalam keadaan tidak suci.

5) Menghadap kiblat dan mengangkat kedua belah tangan

Menghadap kiblat adalah salah satu yang disunatkan sebelum seseorang itu melakukan sesuatu ibadah.

6) Memahami kandungan dan makna doa

Dengan memahami isi kandungan doa sekali gus dapat memudahkan seseorang bagi menghayati doa tersebut. Oleh kerana itu, lafaz doa yang dibaca mestilah difahami dan dihayati dengan bersungguh-sungguh bagi meningkatkan tahap kekhusyukan. Tanpa memahami dan menghayati maksud doa, sama seperti orang yang tidak berdoa.

7) Memuji Tuhan pada permulaan dan penutup doa

Sebaik-baik doa adalah doa yang dimulakan dan diakhiri dengan memuji Tuhan. Sebutan tahmid di awal doa menambah lagi keberkatan dan menentukan makbulnya satu-satu doa.

Begitu juga sebaik-baiknya doa adalah apabila seseorang itu menamatkannya dengan dilafazkan tahmid penutup yang menandakan berakhirnya doa.

8) Membaca selawat kepada Nabi Muhammad

Di samping bertahmid kepada ALLAH, eloklah doa itu diiringi dengan membaca selawat kepada junjungan Nabi Muhammad SAW.

Sumber: Teknik Menjadi Pelajar Cemerlang, Dr. Hasan Mohd Ali, Ph.D

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan